Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 22 Jun 2016

TNB bina 72 rumah di bawah Projek Baiti Jannati

GUA MUSANG: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan wang zakat berjumlah RM3.6 juta bagi membina 72 rumah di bawah Projek Baiti Jannati di seluruh Semenanjung Malaysia tahun ini.

Pengurus Besar Bahagian Pembahagian TNB Kelantan, Datuk Md Yuslan Md Yusof berkata daripada jumlah itu, sebanyak empat buah rumah dibina di Kelantan masing-masing di Kota Bharu, Bachok, Kuala Krai dan Gua Musang.

"Sejak projek itu dilancarkan pada 2008, sebanyak 35 buah rumah telah dibina di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah Projek Baiti Jannati di Kampung Jerek Kaling, Bertam di sini, hari ini.

Penyerahan kunci rumah itu kepada Che Mariani Che Yaman, 38, dilakukan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Ab Ghani.

Md Yuslan berkata kategori utama pemilihan peserta adalah mereka daripada golongan asnaf termasuk ibu tunggal dan keluarga miskin, dan rumah yang bernilai RM50,000 sebuah itu dilengkapi tiga bilik tidur.

Katanya pembinaan rumah berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial TNB untuk membantu rakyat yang tidak berkemampuan.

Sementara itu, Che Mariani menyifatkan keluarganya amat bertuah kerana terpilih menerima sebuah rumah yang selesa dan tidak pernah dimimpikan selama ini.

"Sebelum ini, saya terkejut apabila dikunjungi pegawai TNB untuk menyenaraikan nama saya sebagai penerima rumah Projek Baiti Jannati yang pertama di Gua Musang.

"Kami mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana dapat menerima rumah yang selesa," katanya sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan akan memberi sinar baharu kepada keluarganya.

Sumber: Bernama | 21 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan