Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 5 Jun 2016

TNB bina dua pencawang masuk utama bernilai RM80 juta di Kelantan

PASIR PUTEH: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang membina dua Pencawang Masuk Utama (PMU) di Bandar Baharu Tunjong di sini dan Kampung Kandis, Bachok, bagi memenuhi permintaan bekalan tenaga di Kelantan pada masa depan.

Pengurus Jabatan Senggaraan Aset Tenaga TNB Kelantan Mohamad Mohyiddin Mohamed Nor berkata kedua-dua PMU itu, masing-masing bernilai RM40 juta, dijangka mula beroperasi pada 2018.

"Kedua-dua PMU berkenaan dibina bagi memenuhi permintaan tenaga di kawasan membangun di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Bola Sepak Sembilan Sebelah Veteran Terbuka Kelantan di Padang Majlis Daerah, di sini, hari ini.

Mohamad Mohyiddin berkata pembinaan PMU di Bandar Baharu Tunjong adalah perlu memandangkan kawasan itu berpotensi dibangunkan terutama menerusi projek-projek kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Bagi PMU di Bachok pula, ia akan menampung permintaan daripada pemain industri pelancongan menerusi pembinaan hotel dan chalet, serta pembangunan bandar baharu nelayan Tok Bali di Pasir Puteh.

"Kedua-dua PMU itu mempunyai simpanan tenaga sebanyak 90 mega volt (mv)," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, TNB Kelantan mempunyai 11 PMU dengan simpanan tenaga melebihi 400 mv yang diperoleh daripada dua sumber tenaga utama - Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud di Kenyir, Terengganu dan Janakuasa Elektrik Sultan Ismail di Pergau, Jeli.

Mengenai kecurian aset elektrik TNB, Mohamad Mohyiddin berkata kejatuhan harga besi di pasaran tempatan menyebabkan kegiatan mencuri bahan logam di pencawang semakin berkurangan, dengan kes terakhir berlaku di Kuala Krai pada tahun lepas.

Beliau berkata dalam tempoh 2012 hingga 2015, sebanyak 22 kes kecurian dilaporkan menyebabkan TNB mengalami kerugian berjumlah RM87,000.

Sumber: Bernama | 5 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan