Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 25 Jun 2016

Aidilfitri: Tiada penambahan anggota di sempadan negara - Panglima ATM

KUANTAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menambah anggotanya bertugas di sempadan negara semasa perayaan Aidilfitri bulan depan.

Bagaimanapun, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata anggota sedia ada yang bertugas di sempadan diarah meningkatkan kesiapsiagaan dan kewaspadaan bagi memastikan musuh tidak mengambil kesempatan menyeludup masuk ke negara ini.

"Kami akan melipatgandakan kawalan dan rondaan di sempadan supaya tidak ada yang cuba melakukan angkara pada hari lebaran.

"Ini juga bagi mengelak mereka menganggap kewaspadaan kita berada di tahap rendah semasa Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini, semalam.

Turut hadir Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Wilayah Laut 1 Laksamana Muda Datuk Azhari Abdul Rashid.

Zulkifeli juga menunaikan solat Isyak dan solat sunat Terawih bersama-sama warga TLDM.

Dalam pada itu, Zulkifeli mengingatkan semua anggota ATM supaya tidak terpengaruh dengan dakyah Daesh yang sememangnya bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berkata ATM telah mengeluarkan arahan kepada semua warganya supaya menghindari sebarang laman web berkaitan Daesh dalam usaha menjaga imej baik pasukan keselamatan negara.

"ATM juga menubuhkan pasukan khas bagi memaklumkan mengenai bahayanya ancaman Daesh termasuk melakukan pemantauan bagi mengelak warganya daripada terjebak.

"Saya meminta Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara memantau setiap pasukan dan anggota mereka supaya tidak terjebak dengan Daesh," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan