Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 24 Jun 2016

Jabatan Perhutanan Kelantan diminta benarkan kerja baik pulih sumber air dari Bukit Sukor

TANAH MERAH: Penduduk Kampung Sokor di sini, meminta Jabatan Perhutanan Kelantan membenarkan kerja membaik pulih sistem air tandak atau sumber air dari Bukit Sokor, supaya dapat menakung air yang mencukupi untuk kegunaan mereka.

Penghulu Kampung Sokor Muhamad Deris, 50, berkata kawasan takungan air di bukit berkenaan, dipercayai kawasan hutan simpan, semakin cetek akibat aktiviti pembalakan di kawasan berdekatan.

Bekalan air bukit itu bukan sahaja untuk kegunaan kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Sokor malah ia juga membabitkan penduduk dari beberapa buah kampung lain, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Muhamad berkata penduduk kampung hanya mengharapkan bekalan air dari bukit berkenaan kerana tidak mendapat bekalan air dari sumber lain termasuk Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Bagaimanapun, beliau berkata kontraktor tidak dibenarkan untuk melakukan kerja membaik pulih kawasan tandak berkenaan dengan alasan tidak mendapat kebenaran Jabatan Perhutanan untuk memasuki kawasan hutan simpan itu.

Seorang penduduk, Abdul Kadir Yaacob, 65, berharap kerja membaik pulih tandak berkenaan dapat dilakukan segera kerana ia adalah sumber utama air penduduk.

"Kami bergantung sepenuhnya kepada tandak berkenaan, jika ia tidak diperbaiki ia akan menjadi kering dan kami hilang punca air utama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada penduduk berhubung perkara tersebut.

"Kita akan berbincang dengan penduduk terbabit supaya isu yang berbangkit dapat diselesaikan," katanya ketika dihubungi di sini.

Sumber: Bernama | 23 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan