JPS menggali lumpur banjir yang menyekat aliran air sungai. |
KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan mengambil tindakan segera menangani masalah Sungai Budor, Pengkalan Chepa yang merentasi Kampung Gok Kapur yang didakwa berbau busuk sejak empat tahun lalu.
Jurutera Jajahan Kota Bharu, Osman Mamat berkata, sungai berkenaan bertakung akibat ada penternakan itik berhampirannya yang menambah lagi bau busuk sedia ada.
“Kawasan sungai ini terletak di bahagian belakang tembok penahan banjir dan kami mengakui bau air bertakung ini memang busuk, namun tidak seperti didakwa penduduk.
“JPS Jajahan Kota Bharu mengambil tindakan segera dengan membersihkan kawasan sungai menggunakan jengkaut bagi membina saliran dan membuang sampah-sarap yang tersangkut sebelum ini," katanya, di sini, semalam.
Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Gok Kapur menggesa pihak berkaitan membersihkan sungai bertakung setelah pembinaan benteng menahan banjir di tempat berkenaan.
Sementara itu, Naib Ketua Umno Pengkalan Chepa, Wan Shahrul Azuan Wan Ab Aziz berkata, pihaknya turut mendesak pihak berkenaan untuk membersihkan sungai bertakung dan tidak mengalir tersebut.
“Saya memuji usaha JPS yang segera bertindak selepas mendapat makluman mengenai kesukaran 50 penghuni di Kampung Gok Kapur yang tidak selesa dengan masalah bau tersebut.
“Saya berharap ia memberi sinar baharu kepada penduduk setempat semasa menyambut Ramadan ini, sekaligus meraikan hari raya nanti,” katanya yang juga Penyelaras Dun Kijang.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 18 Jun 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan