Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 15 Jun 2016

Kakitangan Rayani Air di Kelantan rayu pembayaran gaji

Mohd Che Khalid (tiga, kiri) bersama wakil kakitangan Rayani Air Kelantan menuntut tunggakan gaji, semalam.
KOTA BHARU: Kami rayu Rayani Air bayar tunggakan gaji sebelum Hari Raya Aidilfitri,” luah Pengurus Stesen Rayani Air Kota Bharu, Mohd Che Khalid Che Mohd Rani.

Rayuan itu dibuat berikutan pembatalan Sijil Operasi Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan patuh syariah, Rayani Air Sdn Bhd oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) kelmarin.

Kata beliau, jumlah kakitangan Rayani Air seramai 480 orang termasuk di ibu pejabat, 160 kakitangan sokongan darat dan 24 orang kakitangan di Kelantan.

Menurut Che Khalid, kira-kira RM150,000 tunggakan gaji asas bagi kakitangan di Kelantan dari Mac hingga kini belum dijelaskan.

“Kami mohon simpati memandangkan selepas Rayani Air digantung penerbangan bermula Mac lalu, ada di kalangan kakitangan terpaksa bekerja dalam pelbagai sektor secara harian atau tidak tetap sehingga ada yang berniaga di pasar malam,” dakwanya.

Che Khalid mendakwa, memandangkan hari raya sudah semakin hampir, mereka amat berharap mendapat tunggakan gaji biarpun sehingga kini belum menerima apa-apa maklum balas.

Katanya sudah berkali-kali beliau mewakili kakitangan lain bertanya khabar, sabar menunggu, namun jawapan diberikan samar serta tidak kukuh untuk jaminan masa depan mereka.

Sedih dengan nasib rakan lain, beliau mengakui ada di kalangan mereka yang terpaksa keluar dari rumah sewa dan diberikan amaran oleh pihak bank kerana mempunyai tunggakan pembayaran kereta secara bulanan.

“Kami ada tanggungan masing-masing, ada keluarga, ada anak sekolah, sehingga hari ini kami masih bersabar, sebab itulah kami tidak kisah bekerja apa sahaja asalkan halal.

“Lagipun, sekarang ini bulan puasa dan hari raya sudah dekat, sudah pasti banyak kos diperlukan. Kami menuntut hak yang sepatutnya untuk kami,” dakwanya yang hadir bersama lima lagi wakil kakitangan Rayani Air Kelantan di pejabat Sinar Harian, di sini, semalam.

Lebih menyedihkan, sehingga kini nasib mereka terumbang-ambing mengenai kedudukan sebenar bagi jawatan di syarikat tersebut memandangkan pihak berkenaan tidak memaklumkan status sebenar.

Katanya, mereka sepakat akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya pengurusan gagal menyelesaikan masalah dan tidak membela nasib pekerja.

“Kami antara kakitangan perintis syarikat penerbangan ini sentiasa memberi komitmen yang tinggi terhadap Rayani Air semasa bertugas, malah kami sentiasa patuh terhadap arahan atasan termasuk mengadakan promosi, kami berharap masih ada harapan untuk mendapat gaji,” katanya.

Sementara itu, pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran semasa dihubungi berkata, masalah yang dihadapi syarikat penerbangan tambang murah tersebut berpunca daripada pengurusan juruterbangnya.

“Syarikat membuat rayuan bagi kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan DCA berikutan pembatalan lesen Rayani Air.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 15 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan