Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 22 Jun 2016

Ladang getah sebagai sumber pendapatan penduduk Orang Asli Sungai Rual

JELI: Sebuah kawasan tanaman getah bakal disediakan untuk dijadikan sumber pendapatan bagi masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Rual di sini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ladang getah itu penting memandangkan sumber pendapatan sedia ada semakin terhad untuk menyara 216 keluarga masyarakat itu.

"Saya telah berjumpa dan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berkaitan isu yang dihadapi oleh mereka (penduduk Orang Asli) itu.

"Kami mempunyai rancangan untuk membina kawasan tanaman getah sebagai sumber pendapatan harian mereka," kata Mustapa yang juga Anggota Parlimen Jeli kepada pemberita selepas menyampai sumbangan kepada penduduk Sungai Rual di sini, hari ini.

Menurutnya Orang Asli menghadapi sumber pendapatan yang semakin terhad selepas sumber pencarian tradisi iaitu hasil hutan, berkurangan akibat hutan diteroka untuk perladangan oleh syarikat tertentu.

Punca pendapatan lain iaitu daripada ladang getah seluas 28.4 hektar (71 ekar) dan sawit seluas 24 hektar (60 ekar) tidak dapat menampung pendapatan untuk bilangan keluarga yang semakin bertambah.

"Bagi menjamin masa depan, mereka datang berjumpa dengan saya memohon agar kerajaan menyediakan satu kawasan tanah supaya dapat dijadikan pendapatan harian mereka," katanya.

Beliau akan mengemukakan perkara itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi melakasanakan projek tanaman getah itu.

Mustapa berkata pembinaan jalan raya sejauh 10 kilometer bernilai RM160 juta dari Sungai Rual ke bandar Jeli juga akan merancakan pertumbuhan ekonomi di sekitar kawasan berkenaan.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bayaran dividen daripada Risda kepada 106 orang penduduk perkampungan berkenaan.

Sumber: Bernama | 22 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan