KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan pimpinan PAS turut terlibat dalam membantu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) membangunkan kawasan yang diselia oleh agensi berkenaan terutama membabitkan proses kelulusan tanah, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mohd Amar berkata setakat ini tiada sebarang kelulusan tanah untuk projek-projek kerajaan Persekutuan yang ditolak oleh kerajaan negeri terutama membabitkan pembinaan sekolah-sekolah baharu.
"Kita harap Kesedar pun boleh memainkan peranannya dengan lebih berkesan," katanya ketika menjawab soalan Dr Md Yusnan Yusof (PAS-Melor) yang bertanya sejauh mana penglibatan kerajaan negeri dalam pembangunan di Kelantan Selatan, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Kawasan Kelantan Selatan di bawah seliaan Kesedar merangkumi jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan sebahagian Tanah Merah, merangkumi kawasan seluas 1.3 juta hektar.
Sementara itu, Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) ketika ditemui di luar dewan berkata terdapat kira-kira 8,000 hektar tanah kawasan Kesedar yang diusahakan oleh peneroka, masih belum menerima geran persendirian.
Abdul Aziz yang juga Pengerusi Kesedar berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan mendapat kerjasama yang baik bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
"Jadi saya berharap masalah pengeluaran (kelulusan tanah persendirian) ini dapat kita selesaikan dengan cepat," katanya.
Persidangan dewan bersambung esok.
Sumber: Bernama | 1 Jun 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan