KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan akan meningkatkan kempen berhubung suntikan vaksin lima serangkai DTaP-IPV//Hib bagi menghindari difteria, pertusis, tetanus, polio dan haemophilus influenzae jenis B di negeri ini.
Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata kesedaran masyarakat khususnya luar bandar terhadap kepentingan imunisasi pelalian masih kurang dan keadaan itu agak membimbangkan.
"Walaupun sejak lima tahun lepas, kami tidak menerima laporan berlakunya kes difteria, namun kesedaran masyarakat terhadap kepentingan imunisasi untuk anak mereka masih berada di tahap kurang memuaskan.
"Kami akan melakukan tindakan susulan bagi kes-kes keciciran pelalian dalam kalangan kanak-kanak khasnya penduduk di luar bandar terhadap kepentingan imunisasi serta sedang mengenal pasti kumpulan sasar yang menolak program suntikan vaksin tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Vaksin lima serangkai perlu diberikan kepada kanak-kanak berumur dua, tiga dan lima bulan sebagai dos utama dan 18 bulan sebagai dos tambahan.
Beliau berkata antara punca tidak mendapatkan imunisasi yang dikenal pasti ialah anak tidak sihat ketika perlu dibawa ke klinik pada tarikh ditetapkan serta tinggal di kawasan pedalaman.
Ahmad Razin berkata kempen terhadap imunisasi pelalian itu akan dipergiat kerana program vaksin berkenaan adalah percuma dan disediakan di semua hospital dan klinik kerajaan.
Beliau berkata pihaknya akan mengadakan taklimat terkini kepada semua pengamal perubatan di pelbagai peringkat agar mereka dapat memberi penerangan kepada golongan antivaksin.
Sumber: Bernama | 26 Jun 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan