Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 2 Jun 2016

Enam syarikat dalam dan luar negara minat melabur di Tok Bali

PASIR PUTEH: Enam syarikat dari dalam dan luar negara berminat untuk melabur lebih RM10 juta dalam industri hiliran petroleum dan gas di Tok Bali di sini.

Pengarah Pejabat Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kelantan, Azran Deraman berkata pihaknya sedang mengadakan rundingan lanjut dengan syarikat terbabit mengenai beberapa skim insentif yang ditawarkan kerajaan termasuk pengecualian cukai.

"Pembangunan Tok Bali akan diberi keutamaan dalam promosi menarik pelaburan dalam dan luar negara di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran operasi Syarikat Upstream Downstream Proces & Service Sdn Bhd yang beroperasi di Tok Bali di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Kelantan, Mohamad Nizam Ali merasmikan majlis tersebut.

Azran berkata Tok Bali adalah lokasi berpotensi untuk menarik pelaburan setelah kawasan Perindustrian di Pengkalan Chepa, Kota Bharu sudah padat dan tidak mampu lagi menempatkan kilang baharu.

Beliau berkata dengan adanya pelaburan, ia akan memberi faedah besar kepada penduduk tempatan khususnya peluang pekerjaan, perniagaan dan memesatkan proses pembangunan bandar baharu perikanan Tok Bali.

Sementara itu, Mohamad Nizam berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak 135 kes kemalangan yang membabitkan sembilan kematian dilaporkan berlaku di tempat kerja di negeri ini.

Katanya dalam tempoh berkenaan, sebanyak 13 majikan dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan denda berjumlah RM43,300.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Mei lepas, lebih 50 kes kemalangan di tempat kerja membabitkan empat kematian dilaporkan di negeri ini.

Sumber: Bernama | 2 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan