Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 26 Jun 2016

AIM rai 100 penarik beca dan pemandu kereta sewa Pasir Mas

PASIR MAS: Seratus penarik beca dan pemandu kereta sewa di bandar Pasir Mas diraikan dalam Program Imarah Ramadan anjuran Islamic Aid Malaysia (AIM) malam tadi.

Presiden AIM Zawahir Abdullah berkata majlis itu diadakan bagi membantu meringankan beban golongan itu yang telah banyak membantu masyarakat dalam menyediakan perkhidmatan awam darat sejak sekian lama.

"Mereka menyara keluarga dengan mengambil upah menyediakan perkhidmatan kenderaan kepada orang awam, namun kini golongan tersebut semakin sukar mendapat pendapatan harian disebabkan berlaku persaingan.

"Ada daripada mereka terpaksa mengikat perut demi keluarga kerana hanya menerima RM20 dan RM30 sehari, malah kadang-kadang langsung tiada pendapatan," katanya kepada pemberita selepas Program Imarah Ramadan di Stesen Persatuan Pemandu Kereta Sewa Pasir Mas di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, AIM turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada penarik beca dan pemandu kereta sewa di bandar berkenaan.

Mengulas lanjut Zawahir berkata nasib penarik beca dan pemandu kereta sewa sering dipinggirkan daripada mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta mahupun kerajaan.

"Kebanyakan daripada masyarakat kita, apabila tiba bulan Ramadan, mereka sering beri bantuan kepada pondok, sekolah tahfiz, madrasah dan anak yatim.

"Jadi kepada golongan penarik beca dan pemandu kereta sewa tidak ramai yang berminat sedangkan realitinya mereka ini hidup dalam kesusahan terutama golongan warga emas yang masih melakukan kerja itu demi sesuap nasi," katanya.

Seorang penarik beca Muhamad Daud, 80, berkata mereka kini berdepan kesukaran mendapatkan pelanggan yang ingin menggunakan perkhidmatan mereka pada masa kini.

"Masyarakat zaman sekarang mempunyai kenderaan sendiri untuk ke pekan berbanding dahulu, perkhidmatan kami amat diperlukan.

"Kadangkala pendapatan harian kami hanya memperoleh RM15 hingga RM20 pada ketika ini, berbanding RM50 pada zaman dahulu," katanya.

Sumber: Bernama | 26 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan