KOTA BHARU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kelantan akan melaksanakan 'Ops Bantu' sempena perayaan Hari Raya Aidifitri bulan depan.
Pengarah JPAM Kelantan Lt Kol (PA) Zainuddin Hussin berkata 'Ops Bantu' itu berkonsepkan rondaan dan rawat oleh anggota JPAM pada musim perayaan bagi memberikan bantuan awal kepada mangsa kemalangan, mengawal kesesakan lalu lintas dan membantu membaiki kenderaan yang mengalami kerosakan kecil.
Beliau berkata pihaknya kini sudah bersedia untuk membantu orang awam terutama perantau yang pulang ke negeri ini untuk menyambut hari raya di kampung halaman mereka.
"Kami akan memberikan perkhidmatan kepada pengguna jalan raya sekiranya mereka menghadapi kemalangan dalam perjalanan pulang ke kampung halaman," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.
Zainuddin berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada jalan utama di negeri ini kerana dijangkakan bilangan kenderaan akan bertambah.
Beliau berkata 250 anggota JPAM Kelantan akan terlibat dalam operasi berkenaan dan bilangan anggota itu akan ditambah mengikut keperluan semasa.
Sumber: Bernama | 22 Jun 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan