PASIR MAS: Sebanyak 21,300 kilogram beras Siam bernilai RM200,000 yang disyaki diseludup dari negara jiran, berjaya dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Belukar di sini, hari ini.
Komander AKSEM Kelantan, Mohd Asri Yahya berkata kesemua beras dirampas dalam serbuan 7 pagi itu, diisi dalam lebih 200 guni yang dicop 'Beras Nasional' bagi mengabui mata pihak berkuasa.
Beliau berkata kejayaan rampasan itu adalah hasil operasi awal sebelum itu, dengan anggota AKSEM mengejar sebuah van berisi muatan beras seludup dari arah Kubang Pak Itam, Tumpat ke Kampung Belukar.
"Sebelum serbuan ke atas gudang itu pada 3 pagi tadi, AKSEM bertindak mengejar sebuah van yang membawa beras seludup tetapi mereka berjaya meloloskan diri selepas kenderaan AKSEM dihalang dua pacuan empat roda disyaki milik sindiket terbabit.
"Mereka juga membuang guni beras di atas jalan raya untuk menghalang kenderaan pihak berkuasa daripada mengejar mereka," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.
Mohd Asri berkata walaupun van yang dikejar berjaya lolos tetapi hasil maklumat diterima, van itu menuju ke arah sebuah gudang di Kampung Belukar.
Hasil maklumat diterima, anggota AKSEM bertindak menyerbu gudang terbabit di Kampung Belukar dan menemui sebuah treler dengan muatan lebih 200 guni beras Siam.
"Siasatan dilakukan mendapati gudang terbabit berlesen tetapi semua beras dan treler dirampas untuk siasatan.
"Dianggarkan nilai beras dan treler adalah RM280,000 dan diserahkan kepada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara Kelantan untuk tindakan selanjutnya," kata beliau.
Sementara itu, Timbalan Pengarah bahagian tersebut, Harun Iskandar Abdullah berkata pemilik gudang berusia 40-an itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9(2)(a) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.
Beliau berkata tindakan diambil kerana pemiliknya disyaki memperoleh sumber secara tidak sah dari Thailand, selain pemiliknya gagal mengemukakan dokumen berkaitan beras tersebut.
Sumber: Bernama | 13 Jun 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan