Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 9 Jun 2016

44 usahawan bimbingan KADA terima peralatan pembuatan makanan

KOTA BHARU: Seramai 44 usahawan di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), hari ini menerima bantuan berupa peralatan pembuatan makanan berjumlah RM201,245.

Pengurus Besar KADA Mohd Ridzuan Ismail berkata sejumlah RM134,647 merupakan geran penuh kepada 26 usahawan bagi meningkatan kapasiti pengeluaran manakala RM16,569 lagi kepada lima usahawan sebagai geran penuh bagi pembungkusan dan penjenamaan.

"Selain itu, RM43,528 diperuntukkan kepada 10 usahawan menerusi geran padanan untuk meningkatkan keupayaan dan pengeluaran, dan RM7,000 kepada tiga usahawan menerusi program 'touch point' Parlimen Ketereh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Geran Padanan dan Geran Industri Asas Tani kepada usahawan bimbingan KADA di Pejabat Bahagian Industri Asas Tani KADA, di Kampung Padang Enggang di sini Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata antara peralatan yang diberikan kepada usahawan berkenaan ialah barangan elektrik seperti ketuhar dan mesin pengadun bagi memproses makanan.

"Kesemua peralatan ini diberikan berdasarkan permintaan daripada usahawan yang memerlukan mesin untuk memproses produk," kata Mohd Ridzuan.

Beliau berkata 1,071 usahawan pembuatan makanan berdaftar dengan KADA sejak program Industri Asas Tani itu diperkenalkan pada 2006.

"Daripada jumlah itu, 10 peratus telah menunjukkan prestasi cemerlang dan berjaya menembusi pasaran di luar Kelantan.

"Kebanyakannya mengusahakan produk makanan sejuk beku dan berjaya menempatkan produk mereka di kebanyakan pasar raya utama," katanya.

Sumber: Bernama | 9 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan