Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 30 Mei 2017

Cuti sekolah seminggu sempena Aidilfitri

Murid dan pelajar sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan diberikan cuti selama seminggu sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.
KUALA LUMPUR: Sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bakal menikmati ‘cuti panjang’ selama seminggu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 25 Jun ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu pekeliling sebelum ini memberitahu, bagi sekolah kumpulan A yang terdiri daripada Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, akan mula bercuti pada 23 Jun sehingga 1 Julai ini.

Bagi sekolah Kumpulan B yang terdiri daripada Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan pula akan bercuti pada 24 Jun sehingga 2 Julai ini.

“Kementerian telah menyelaraskan tarikh-tarikh cuti perayaan bagi sesi persekolah bagi 2017 yang melibatkan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Hari Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Natal.

“Semua sekolah hendaklah mematuhi cuti perayaan yang diperuntukkan kementerian dan cuti ini tidak perlu diganti,” kata pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, di sini baru-baru ini.

Kekeliruan timbul ekoran penyebaran jadual cuti persekolahan selama seminggu di media sosial yang didakwa terlalu hampir dengan cuti pertengahan tahun selama dua minggu bermula 26 dan 27 Mei lalu.

Ini bermakna, murid dan pelajar akan bersekolah selama dua minggu selepas berakhir cuti pertengahan pada 11 Jun ini, sebelum kembali bercuti selama seminggu sempena Aidilfitri.

Sementara itu, cuti pertengahan tahun kali ini serentak dengan cuti perayaan Hari Kaamatan pada 30 dan 31 Mei sementara Hari Gawai pula jatuh pada 1 dan 2 Jun ini.
 
Sumber: Utusan Online | 29 Mei 2017

Isnin, 29 Mei 2017

Kerabu nipah di Pasar Ramadan Terapung Pantai Ndo

Orang ramai berkunjung ke Pasar Ramadan Pantai Ndo, Taman Mahkota, untuk membeli pelbagai aneka kuih dan lauk untuk berbuka puasa daripada peniaga di atas bot. Foto: Nik Abdullah Nik Omar
TUMPAT: Pasar Ramadan Terapung di Pantai Ndo, Taman Mahkota, di sini, memberi kelainan apabila peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa di atas bot.

Enam bot terapung sedia menunggu pengunjung dengan pelbagai juadah termasuk aneka menu dari pulau berhampiran seperti madu, nira nipah dan kerabu nipah.

Seawal jam 4 petang, bot dari perkampungan nelayan di Pulau Seratus, Pulau Timun, Kuala Besar, Teluk Renjuna dan beberapa kampung lain mula menghampiri tebing Pantai Ndo.

Seorang penjual dari Kampung Pulau Timun, Faridah Mohamad, 56, mengambil peluang untuk menjual juadah yang sinonim dengan perkampungan atas pulau iaitu kerabu nipah.

"Sebelum ini saya belum pernah berniaga di atas bot yang hanya digunakan suami untuk menangkap ikan.

"Apabila wujudnya pasar terapung sebegini, saya cuba untuk menambah pendapatan sekali gus menjual makanan yang sukar didapati di tempat lain seperti kerabu nipah," katanya ketika ditemui di sini.

Seorang pengunjung, Tuan Noraini Tuan Musa, 51, berkata inisiatif mengadakan pasar Ramadan terapung adalah sangat bagus kerana selain menjadi tarikan pengunjung untuk ke Pantai Ndo, banyak juga juadah berbuka puasa yang dijual dengan harga yang lebih murah.

"Bermula hari pertama lagi saya sudah datang ke sini untuk mendapatkan kerabu nipah dan air kelapa kerana ia (kerabu nipah) agak sukar didapati melainkan kawasan pulau selain harganya yang sangat berpatutan.

"Saya harap pasar Ramadan terapung ini akan terus diadakan setiap tahun dan mungkin boleh dicadangkan sebagai pasar minggu selepas ini," katanya.

Sumber: Berita Harian | Semasa | 29 Mei 2017

Ahad, 28 Mei 2017

Markas 8 Briged tingkat kawalan di sempadan Kelantan-Thailand

KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempertingkatkan kawalan keselamatan di sepanjang 128 kilometer sempadan Kelantan-Thailand bagi mengesan sebarang anasir yang tidak diingini daripada menyusup masuk ke negara ini, susulan insiden serangan dan letupan bom di Bangkok, Jakarta dan Mindanao di Filipina, baru-baru ini.

Panglima Briged Kelapan Infantri, Brig Jeneral Nazari Abd Hadi berkata susulan kejadian serangan di tiganegara jiran itu, kesemua anggota tentera yang bertugas di kawasan sempadan itu telah diarahkan supaya meningkatkan rondaan dan pemeriksaan.

"Anggota yang bertugas terutama di sepanjang Sungai Golok telah diarahkan supaya lebih peka dalam tugas pemantauan bagi mengesan sebarang anasir yang tidak diingini daripada masuk ke negara ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nazari berkata di sepanjang sempadan tersebut terdapat beratus pangkalan haram dan ia bukan tugas yang mudah bagi pasukan penguat kuasa mengawalnya.

"Disebabkan itulah, kerjasama daripada pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen amat diperlukan, " katanya.

Sumber: Bernama | 28 Mei 2017

Four Season Place Kuala Lumpur satu lagi tarikan di ibu negara

KUALA LUMPUR: Pembangunan kediaman mewah Four Season Place Kuala Lumpur bersebelahan Menara Berkembar Petronas, bakal menjadi satu lagi mercu tanda terkini di ibu negara yang akan menjadi tarikan pelancong untuk menginap di negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pembangunan yang dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini dan beroperasi pada suku kedua 2018 itu juga akan membawa pulangan lumayan kepada negara.

"Dengan adanya bangunan ini, kita menambah lagi ruang bilik di tanah air, khususnya di Kuala Lumpur dan meningkatkan kualiti bandar raya kita kerana lagi banyak hotel berprestij di negara kita, sudah tentu akan menambah lagi (kedatangan) pelancong.

"Ini kerana terdapat pelancong yang mahu dan sanggup bayar untuk duduk di hotel mewah seperti ini ketika melancong ke negara kita. Malah aliran wang yang dibawa masuk pelancong iaitu enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan pergi kepada kerajaan selain hotel membayar cukai pendapatan, jadi lebih banyak kelebihan kepada kita," katanya selepas majlis meletak mercu tanda Four Season Place di tapak pembinaan bangunan itu Jumaat.

Terletak di lokasi strategik di segi tiga emas Kuala Lumpur, Four Season Place Kuala Lumpur terdiri daripada bangunan 77 tingkat melibatkan lebih 300,000 ruang jualan mewah dilengkapi lebih 231 bilik hotel serta hotel apartmen berservis dan kediaman mewah dengan keluasan daripada 1,300 hingga 1,200 kaki persegi seunit.

Menurut Mohamed Nazri, pembangunan bersepadu oleh Venus Assets Sdn Bhd dan China Railway Construction Corporation Limited (CRCC) itu juga akan mengukuhkan lagi jalinan Malaysia dengan China, yang merupakan ekonomi kedua terbesar dunia.

Four Season Place Kuala Lumpur itu akan dikendalikan oleh Four Seasons Hotel and Resort.

Sumber: Bernama | 26 Mei 2017

Sabtu, 27 Mei 2017

Projek Empangan Nenggiri: Penduduk Orang Asli sedia berpindah

Kawasan penempatan Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan yang bakal tenggelam kerana pembinaan Empangan Nenggiri.
GUA MUSANG: Seramai 200 keluarga Orang Asli di Pos Tohoi di sini bersedia untuk berpindah ke kawasan penempatan baharu bagi memberi laluan kepada projek pembinaan Empangan Nenggiri.

Bagaimanapun, mereka mahu pihak kerajaan membangunkan kawasan perkampungan baharu itu seperti mana yang mereka nikmati pada masa sekarang di Pos Tohoi iaitu lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti perumahan selesa serta sekolah untuk anak-anak.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Tohoi, Zainal Chali berkata, penduduk kampung sudah sepakat untuk memilih Kampung Kuala Yai sebagai penempatan mereka sekiranya projek itu dilaksanakan.

Katanya, Kuala Yai adalah sebuah kampung lama yang pernah mereka diami dahulu sebelum berpindah ke Pos Tohoi pada tahun 1983.

“Orang kampung masih lagi belum menandatangani apa-apa dokumen setakat ini. Kami berharap pihak kerajaan bersetuju dengan pilihan kita untuk tinggal di Kuala Yai.

“Jika mereka bersetuju dengan beberapa syarat yang kita mahu, kami akan berpindah dari Pos Tohoi,” katanya di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan hampir 200 keluarga masyarakat Orang Asli akan kehilangan tempat tinggal kerana kawasan tersebut terlibat dalam pembinaan projek Empangan Neng­giri.

Sementara itu seorang penduduk, Jemes Achey, 35, berkata, penduduk kampung sudah mengetahui bahawa mereka akan dipindahkan ke kawasan lain.

Katanya, penduduk kampung terpaksa berpindah walaupun mereka amat sayangkan Pos Tohoi yang mempunyai banyak sejarah apabila terdapat Gua Cha dan Gua Peraling di sini.

“Kami memang rasa berat hati nak berpindah ke tempat baharu kerana di sini banyak kawasan bersejarah, kebun, haiwan ternakan dan kemudahan sekolah.

“Kita mahu kerajaan menyediakan jalan tar atau kemudahan elektrik, sekolah dan klinik. Kemudahan itu adalah sebagai pampasan kerana kami telah berkorban untuk meninggalkan kampung,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 25 Mei 2017 | Terbitan 26 Mei 2017

Ahmad Faiz kini selangkah ke UIM

Fathul Bari Mat Jahaya (dua dari kanan) memberi kata-kata perangsang kepada Ahmad Faiz Ibrahim dalam satu pertemuan di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Penghidap cerebral palsy, Ahmad Faiz Ibrahim, 18, yang mengejutkan negara dengan keputusan cemerlang 10 Mumtaz dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 walaupun terpaksa menjawab dengan dagu dan mulut kini hanya se­langkah lagi untuk menggapai impiannya bergelar mahasiswa Universiti Islam Madinah (UIM).

Pegawai Khas Pejabat Penasihat Jabatan Perdana Menteri yang juga Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahaya berkata, hasil pertemuan antara Rektor UIM, Dr. Hateem Hasan Al-Marzuki sendiri de­ngan Ahmad Faiz menyaksikan orang nombor satu UIM itu sangat mengalu-alukan kemasukan pelajar itu ke universiti tersebut.

Menurutnya, perkara yang perlu diselesaikan kini adalah urusan berkaitan bapanya, Ibrahim Yunus, 48, seorang guru sekolah menengah yang perlu mendapat kebenaran memasuki negara berkenaan atas kapasiti sebagai pengiring.

“Dr. Hateem sangat mengalu-alukan Ahmad Faiz dan kagum dengan kesungguhannya biarpun berkeadaan demikian tetapi cemerlang dalam peperiksaan.

“Malah beliau secara jelas mengatakan bahawa Ahmad Faiz adalah anak angkat kepada UIM dan bersungguh-sungguh mahu membantunya ke sana.

“Kita perlu selesaikan prosedur berkaitan ayahnya sama ada masuk ke Arab Saudi sebagai pengiring sahaja atau turut bergelar pelajar menyambung pengajian bersama Ahmad Faiz,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi pertemuan tidak rasmi Ahmad Faiz dengan Hateem selepas majlis menandatangani kerjasama akademik antara kerajaan negeri dan UIM di sebuah hotel di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani.

Sementara itu, Ahmad Faiz ketika ditemui berkata, dia sangat berharap impian untuk menyambung pengajian dalam bidang hadis di UIM pada September ini akan menjadi kenya­taan.

Jelasnya, dia bersama ayah dan ibunya, Zalina Mohd Kassim, 43, telah pun berpeluang melawat UIM sewaktu menunaikan umrah April lalu yang juga merupakan hadiah seorang dermawan hasil keputusan cemerlang peperiksaan.

“Saya bergantung 95 peratus kepada orang lain untuk berge­rak dan menjalani urusan harian, jadi saya amat berharap ayah dapat bersama.

“Pengajian hadis di UIM sa­ngat mencabar kerana kita perlu menghafal dan mempelajari sekurang-kurangnya 250 buah hadis sepanjang empat tahun belajar di samping menyiapkan tesis yang merangkumi 250 soalan,” katanya.

Ahmad Faiz juga berminat dalam bidang teknologi maklumat dan kini mengisi masa terluang mengambil upah membaiki komputer dan gajet rosak selain berusaha menghafal 30 juzuk al-Quran

Sumber: Utusan Malaysia | Kampus | 25 Mei 2017 | Terbitan 26 Mei 2017

GiatMara institusi kemahiran pilihan ramai

Nur Eizzati Mohamad bersama suami, Aiman Ahmad Farid dan bayi mereka, Maisaratul Ulya selepas dinobatkan graduan terbaik dalam Majlis Graduasi 2016 GiatMara Negeri Kelantan, di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu, baru-baru ini.
KOTA BHARU: Suatu ketika dahulu GiatMara dipandang rendah oleh banyak pihak namun kini ia muncul sebagai sebuah institusi kemahiran pilihan termasuk golongan lepasan ijazah dan diploma.

Penerima Anugerah Eksekutif pada Majlis Graduasi 2016 GiatMara negeri, Nur Ibtisam Rozman, 25, berkata, dia tidak malu memohon masuk belajar kemahiran jahitan di GiatMara Kubang Kerian di sini biarpun sudah bergelar seorang graduan universiti.

Nur Ibtisam yang berasal dari Pasir Mas merupakan pemilik Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Fesyen dan Tekstil) dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) setelah bergraduasi pada 2015.

“Saya bekerja di butik sele­pas tamat pengajian universiti tetapi merasakan masih lagi perlu menambah ilmu untuk jadi pereka fesyen terbaik.

“Saya belajar di GiatMara da­ri Januari hingga Jun tahun lalu kerana mahu belajar perkara paling asas dalam jahitan yang akan menjadi nilai tambah kepada kerjaya saya.

“Kini, saya berjaya membuka kedai jahitan bersebelahan kedai pakaian ayah saya di Lundang untuk membantunya mengembangkan perniagaan,” katanya kepada pemberita di Majlis Graduasi 2016 Giat Mara negeri di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 556 graduan daripada 1,384 pelatih di 15 cawangan Giat Mara negeri ini yang berjaya menamatkan pengajian tahun lalu menerima sijil profesional masing-masing daripada Pengerusi GiatMara Malaysia, Datuk Azian Osman.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Jamal Nasir Othman dan Pengarah GiatMara negeri, Adek Awang Semail.

Pada majlis itu juga, 22 gra­duan terbaik yang memperoleh Purata Nilai Kompetensi GiatMara (GCPA) 3.7 ke atas diikiraf sebagai penerima Anugerah Eksekutif.

Sementara itu, seorang lagi gra­duan terbaik, Nur Izzati Mu­hammad, 24, pula berkata, sebaik sahaja menamatkan per­sekolahan, dia sememangnya berhasrat untuk memasuki Giat­­Mara namun tidak berpe­luang.

Katanya, dia kemudian me­nyambung pengajian dalam bidang Diploma Kesenian Kulinari di sebuah kolej di tempat asalnya di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke negeri ini setelah berkahwin.

“Saya belajar Konfeksionari dan Bakeri di GiatMara Kubang Kerian tahun lalu dan sudah berjaya dapat tempahan semasa masih dalam kursus lagi.

“Pada musim raya tahun lalu saya mendapat untung bersih RM6,000 hasil tempahan biskut raya,” katanya.

Biarpun masih berpantang selepas melahirkan anak kedua pada penghujung April lalu, Nur Izzati tetap hadir pada majlis graduasi tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia | Kampus | 23 Mei 2017 | Terbitan 24 Mei 2017

Masjid Yusof Ishak di Singapura menambat hati umat Islam jauh dan dekat

Keindahan Masjid Yusof Ishak di Woodlands, Singapura. 
SINGAPURA: Masjid Yusof Ishak di Woodlands yang baru dilancarkan bukan sahaja menambat hati masyarakat Islam Singapura tetapi juga masyarakat Islam Malaysia.

Sejak majlis perasmiannya pada 14 April, Masjid yang mengambil sempena nama presiden pertama Singapura itu boleh menampung seramai 4,500 orang jemaah pada satu-satu masa.

Seorang daripada rakyat Malaysia yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Azrul berasal dari Kelantan berkesempatan solat di masjid itu bersama rakan-rakannya.

"Saya sangat bangga sebab ini adalah masjid ke-71 di Singapura dan yang paling besar dibina setakat ini," kata Azrul yang begitu bersyukur kerana dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid tersebut.

Azrul yang bekerja di sebuah agensi promosi Malaysia di Johor Bahru bersama rakannya ke Singapura untuk menghadiri program Pelancongan Malaysia Singapura 2017 apabila singgah untuk solat di Masjid yang kos pembinaannya sebanyak S$18 juta.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Hari Kebangsaan 2014 berjanji masjid baru di Woodlands akan dinamakan dengan nama Presiden pertama Republik itu iaitu Yusof Ishak.

"Sebagai Ketua Negara, Yusof Ishak berjaya menyatukan semua rakyat Singapura. Beliau memperjuangkan banyak nilai murni terutamanya perpaduan hidup masyarakat majmuk.

"Untuk menghargai legasinya, pengurusan masjid akan menganjurkan pelbagai aktiviti sebagai usaha menyatukan penduduk pelbagai kaum.

"Saya berasa amat gembira kerana banyak kegiatan sempena bulan Ramadan sudah diatur," beliau menulis dalam ruangan Facebooknya pada hari perasmian Masjid Yusof Ishak.

Masjid itu dirasmikan pada 14 April, iaitu tarikh yang sama dengan sambutan Good Friday yang diraikan penganut agama Kristian. Pada tarikh itu juga masyarakat Tamil merayakan tahun baharu mereka.

"Tiga masyarakat Singapura yang berbeza iaitu Kristian, Islam dan Hindu meraikan pertistiwa yang berbeza pada hari yang sama!," tulis Lee.

Sebulan selepas majlis pelancaran masjid, pengurusan masjid mengundang pendakwah bebas yang terkenal Datuk Ustaz Kazim Elias dari Malaysia untuk menyampaikan kuliah pada 13 Mei bertajuk "Keberkatan Bulan Ramadan".

Pengurusan masjid juga mempunyai halaman Facebook rasmi www.facebook.com/masjidyusofishak dan kuliah Ustaz Kazim disiarkan secara langsung.

Langkah itu dibuat bagi membolehkan pihak masjid dapat menyebarkan maklumat termasuk berhubung masjid itu dengan lebih meluas.

Hampir kesemua masjid di Singapura mempunyai halaman Facebook yang diurus dengan cekap dan kegiatan mereka sering dikemas kini.

Masjid Yusof Ishak dibuka rasmi oleh balu Presiden pertama Singapura, Puan Noor Aishah, 84, dalam satu majlis yang dihadiri oleh 100 tetamu termasuk Perdana Menteri Lee.

Yusof kembali ke rahmatullah pada 1970 ketika menyandang jawatan Yang Di-Pertuan Negara selepas Singapura membentuk kerajaan sendiri pada 1959. Beliau adalah juga Presiden pertama Singapura. Wajah beliau tertera di wang kertas Singapura.

Jika anda berada di Singapura, bolehlah mengambil bas nombor 901 untuk ke Masjid Yusof Ishak dan stesen MRT yang terdekat di Woodlands.

Berdasarkan Kajian Umum Isi Rumah Singapura 2015, untuk warganegara berusia 15 tahun ke atas, 14 peratus daripadanya berkata mereka beragama Islam. Sehingga Jun 2015, penduduk Singapura berjumlah 3.9 juta.

Sumber: Bernama | 27 Mei 2017

Kerajaan Kelantan lancar tong sampah buang dan tebus

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini melancarkan tong sampah buang dan tebus bagi menggalakkan penduduk di negeri ini mengamalkan kitar semula dan membuang sampah secara tersusun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abd Fattah Mahmood berkata tong berkenaan merupakan rekaan anak tempatan dan yang pertama seumpamanya di negara ini.

"Menerusi tong sampah buang dan tebus ini, penduduk perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya 50 unit barang terbuang yang boleh dikitar semula sebelum membuang bahan berkenaan ke dalam tong yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Madinah Ramada di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, hari ini.

Beliau berkata pengguna akan memperoleh resit yang boleh ditebus dengan wang tunai di kedai-kedai yang bakal dilantik kerajaan negeri selepas ini.

Abd Fattah berkata sebagai permulaan, kerajaan negeri akan menempatkan tong-tong berkenaan di beberapa pasar raya di jajahan ini sebelum Aidilfitri bagi mendidik masyarakat menjaga kebersihan tanpa mengira masa dan tempat.

Sementara itu, Pengurus Kitar Pro Management Tengku Mohd Fadhil Tengku Hamzah berkata buat permulaan pihaknya akan menempatkan lima tong berkenaan yang berharga antara RM2,000 dan RM4,000.

Beliau berkata inovasi yang dimulakan sejak 10 tahun lepas itu akan digunakan secara meluas di negara ini bagi mendidik masyarakat menjaga kebersihan.

Sumber: Bernama | 26 Mei 2017

Khamis, 25 Mei 2017

Kajian budu, pegaga 
cegah kanser perut

Ahmad Sukari Halim (kiri) beramah mesra dengan Lee Yeong Yeh (dua dari kiri) dan Gan Siew Hua (dua dari kanan) di Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Kajian lanjut mengenai ke­upayaan budu dan pegaga mencegah penyakit kanser perut akan dijalankan bagi membuktikan keberkesanan makanan tradisional Kelantan itu yang dipercayai menjadi punca kurangnya kes kanser perut di negeri ini.

Pakar Perunding Kanan Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalam, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Lee Yeong Yeh berkata, antara faktor utama penyakit kanser perut adalah kewujudan kuman Helicobacter pylori (H.pylori) namun bakteria jenis ini didapati jarang terdapat dalam kalangan penduduk khususnya orang Mela­yu di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya unsur biokimia yang terdapat dalam makanan tradisional tempatan itu merencat pertumbuhan H.pylori sekali gus me­ngurangkan risiko penyakit kanser perut go­lo­ngan yang menggemari budu dan pegaga.

“Kadar kanser perut di Kelantan adalah 1.2:100,000 berban­ding Malaysia iaitu 2.2:100,000 yang bermaksud kes berlaku di Kelantan adalah 50 peratus ku­rang daripada kadar nasional.

“Kita masih lagi dalam peringkat kajian awal namun setakat ini kita percaya pengambilan budu dan pegaga mungkin boleh mencegah H.pylori dan seterus­nya kanser perut.

“Selain daripada itu, penduduk Melayu di sini juga didapati mempunyai jenis-jenis varian gen yang melindungi mereka dari­pada kuman H.pylori,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan Syarahan Umum sempena pelantikannya sebagai Profesor bertajuk 'Perubahan Landskap Kesihatan Gastrousus di Malaysia daripada H.Pylori kepada Obesiti' di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian di sini semalam.

Selain beliau, seorang lagi profesor iaitu pensyarah Pusat Genom Manusia, PPSP USM, Prof. Dr. Gan Siew Hua menyampaikan syarahan bertajuk 'Gen dan Ubat-ubatan Serta Penyelidikan Madu'.

Yang turut hadir, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Dr. Ahmad Sukari Halim dan Dekan PPSP USM, Prof Dr Shaiful Bahari Ismail.

Sementara itu, Dr. Ahmad Su­kari berkata, pihaknya amat menggalakkan barisan profesor dan pakar di kampus itu berkongsi ilmu mereka dengan masyarakat sama ada melalui medium syarahan ataupun penulisan artikel dalam surat khabar.

“Sehingga kini kita mempu­nyai 50 orang profesor dari kira-kira 500 kakitangan akademik yang ada di Kampus Kesihatan USM.

“Pensyarah kita paling ba­nyak menghasilkan buku dan pe­nu­lisan akademik setiap tahun ma­lah menerusi kerjasama de­ngan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kita telah menerbitkan 63 judul buku umum unwtuk tatapan masyarakat sejak 2010,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Kampus | 23 Mei 2017 | Terbitan 24 Mei 2017

Zakat fitrah di Kelantan kekal RM7

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah di Kelantan tahun ini kekal sebanyak RM7.

Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata seramai 651 amil terdiri daripada imam masjid, pegawai agama di kem tentera, balai polis dan pusat tahanan telah dilantik untuk memungut zakat fitrah.

"Kutipan zakat fitrah tahun ini dijangkakan sebanyak RM8.4 juta berbanding RM8.3 juta tahun lepas (2016) iaitu peningkatan sebanyak satu peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Mohd Azlan berkata bagi kutipan zakat harta pula, MAIK menyasarkan kutipan sebanyak RM166.6 juta tahun ini berbanding tahun lepas (2016) sebanyak RM154.3 juta.

Beliau berkata kaunter bayaran zakat MAIK di Kompleks Islam Darulnaim, Balai Islam di sini akan dibuka setiap hari sepanjang bulan Ramadan bermula 27 Mei sehingga 24 Jun.

Pembayaran zakat juga boleh dibuat melalui beberapa bank yang dilantik oleh Maik selain kaunter mini pungutan zakat yang diwujudkan termasuk di masjid utama daerah seluruh negeri ini.

Sumber: Bernama | 25 Mei 2017

Surau, masjid di Pahang laung azan Subuh dua kali sepanjang Ramadan

KUANTAN: Semua masjid dan surau di Pahang diarah melaksanakan laungan azan sebanyak dua kali pada waktu Subuh sepanjang Ramadan dalam usaha kerajaan negeri menghidupkan semula sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata perkara itu mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini.

"Setelah berunding dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang, ia bersetuju supaya dilaksanakan azan dua kali itu.

"Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) juga telah mengeluarkan surat mengenai pelaksanaan itu untuk diedarkan ke masjid dan surau di seluruh negeri ini, " katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Azan pertama hendaklah dilaungkan setengah jam sebelum masuk waktu Subuh disusuli dengan laungan kedua pada waktu Subuh seperti yang ditetapkan.

Selain menghidupkan semula sunnah Rasulullah, ia juga membantu mengejutkan umat Islam dari tidur bagi membuat persediaan bersahur.

"Perkara ini juga dilaksanakan di negara-negara Arab," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Mei 2017

Penawar untuk berhenti merokok disediakan di semua klinik kesihatan di Kelantan

GUA MUSANG: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mempelawa perokok tegar yang menghadapi kesukaran untuk berhenti daripada tabiat merokok untuk mendapatkan rawatan dan "penawar" secara percuma di semua klinik kesihatan di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata pihaknya menyediakan Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok di semua klinik kesihatan termasuk di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk membantu kumpulan perokok itu.

"Perokok yang sukar menghentikan tabiat merokok tetapi berazam untuk berhenti boleh datang ke tempat itu bila-bila masa tanpa dikenakan sebarang bayaran," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Sambutan Minggu Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di Taman Tasik di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof.

Dr Ahmad Razin berkata perkhidmatan untuk berhenti merokok itu turut disediakan oleh pihak swasta menerusi perkhidmatan berhenti merokok "mQuit"yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.

"Perokok harus menyedari tabiat merokok boleh mengundang penyakit kronik yang membawa maut termasuk penyakit kanser, paru-paru, serangan jantung dan angin ahmar," katanya.

Sumber: Bernama | 24 Mei 2017

Isnin, 22 Mei 2017

Kajian kepentingan Sungai Pengkalan Datu akan diserah kepada Kerajaan Pusat

KOTA BHARU: Yayasan Warisan Negara berhasrat membawa hasil kajian awal berkaitan Sungai Pengkalan Datu, Pengkalan Chepa di sini, kepada Kerajaan Pusat agar kajian terperinci mengenai kawasan itu berasaskan warisan dan alam semulajadi dapat dilaksanakan.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Utama Rais Yatim berkata kajian awal yang dilakukan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapati kawasan tersebut kaya dengan nilai sejarah, sekaligus mampu dijadikan sebagai pusat sosio-budaya dan pelancongan pada masa akan datang.

"Ia sekaligus akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Buku Jejak Warisan dan Pembangunan Lembangan Sungai Pengkalan Datu di sini, hari ini.

Lembangan Sungai Pengkalan Datu pernah menjadi pelabuhan utama pada tahun 1605 di Kelantan sehingga menjadi tumpuan pedagang dan terkenal aktiviti seni budaya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Canselor UMK Datuk Dr Mortaza Mohamed dan Prof Adjung Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) UMK yang juga penulis buku tersebut Tan Sri Abdul Latiff Abu Bakar.

Sementara itu di BACHOK, ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Buku Kluster Warisan dan Peradaban yang berjudul Perjuangan Tok Janggut Menentang Inggeris dan Warisan Cerita Rakyat Kelantan di UMK Bachok di sini, Rais berkata masyarakat Melayu perlu yakin bahawa Bahasa Melayu mampu cemerlang seperti bahasa antarabangsa lain.

"Kita perlu memartabatkan bahasa Melayu dan pada masa yang sama tidak mengetepikan bahasa lain. Bahasa adalah identiti sesuatu bangsa yang menjadi tonggak kemajuan sesebuah peradaban. Kita tidak mahu warisan bangsa ini dibunuh oleh orang Melayu sendiri," katanya.

Sementara itu Abdul Latiff berkata sumber rujukan berkaitan warisan budaya perlu diperbanyakkan bagi menyuntik kesedaran masyarakat mengenai kepentingan budaya bangsa selain memastikan ia tidak pupus.

Beliau berkata selain dapat menggalakkan masyarakat untuk terus memelihara warisan, usaha menerbitkan buku terutama buku warisan juga adalah usaha untuk menguatkan lagi jatidiri masyarakat negara ini.

Warisan Cerita Rakyat Kelantan memuatkan sebahagian kisah yang dikumpulkan oleh seramai 230 pelajar Kursus Tradisi Lisan FTKW 2016 di bawah penyeliaan Abdul Latiff.

Buku Perjuangan Tok Janggut Menentang Inggeris pula mengisahkan perjuangan tokoh patriotik Kelantan menentang pengaruh Inggeris di negeri ini.

Ia hasil pembentangan para sarjana negara dalam seminar perjuangan Tok Janggut pada 27 Sept 2015, sempena memperingati 100 tahun perjuangan Tok Janggut di Kelantan (1915-2015).

Buku Jejak Warisan dan Pembangunan Lembangan Sungai Pengkalan Datu pula adalah antara usaha Kluster Warisan dan Peradaban UMK menjalankan penyelidikan awal bagi mewarisi khazanah semulajadi dan sejarah warisan Kelantan untuk dibangunkan dan diselamatkan.

Sumber: Bernama | 22 Mei 2017

Dulu ‘pekan koboi’, kini Gua Musang bandar transit

Ab. Aziz Yusof bersama penduduk Orang Asli bermain alatan muzik sewang untuk menghiburkan penduduk berbilang kaum dalam Program Negaraku Sepakat Komuniti 1Malaysia di Gua Musang, Kelantan, kelmarin.
GUA MUSANG: Daerah ini telah berubah wajah menjadi sebuah bandar transit yang sekali gus mengikis gelaran ‘pekan koboi’ yang berikan sejak 40 tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusof berkata, penghijrahan penduduk ke daerah ini juga meningkat kepada hampir 100,000 orang berikutan wujud banyak peluang pekerjaan.

Katanya, perubahan ketara itu berlaku selepas kerajaan Pusat membina rangkaian jalan menghubungkan Kuala Lumpur, Ipoh, Terengganu dan Kota Bharu.

“Kedudukan bandar ini yang terletak di pertengahan laluan kenderaan perdagangan dan sekali gus membawa kemajuan ekonomi.

“Jika dulu, sebut sahaja Gua Musang ramai yang takut kerana di sini dianggap sebagai tempat buangan. Namun kini, tidak lagi apabila Gua Musang sudah maju dan ramai penduduk daripada kawasan bandar datang ke sini untuk memberikan khidmat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penutupan Program Negaraku Se­pakat Komuniti 1Malaysia pe­ringkat daerah di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR), di sini semalam.

Program anjuran Jabatan Pe­nerangan negeri itu telah menarik lebih 1,000 penduduk berbilang kaum dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.

Tambah Ab. Aziz, kemajuan itu menunjukkan komitmen ke­rajaan Pusat bagi membangunkan kawasan Kelantan Selatan sebagai pusat perkembangan eko­nomi baharu.

Katanya, ketika ini sebilangan besar penduduk di seluruh pelusuk negeri ini telah berhijrah ke Gua Musang untuk mencari rezeki.

“Pada era 70-an dahulu, Gua Musang amat ditakuti penduduk berikutan sejarahnya sebagai tempat komunis berselindung.

“Penduduk kini sudah hidup senang apabila mereka dapat merebut pelbagai peluang pe­kerjaan sama ada dalam bidang industri, perladangan, per­lombo­ngan atau pembinaan,” katanya.
Sumber: Utusan Online | Kelantan | 21 Mei 2017