Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 12 Disember 2016

Polis buru tiga lagi suspek kes bunuh penarik kereta di Tanah Merah

KOTA BHARU: Polis sedang memburu tiga lagi suspek bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penarik kereta di Kampung Air Merah, Batu Gajah, Tanah Merah, dekat sini pada 2 Disember lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata setakat ini, polis menahan dua suspek berhubung kes berkenaan, masing-masing seorang lelaki berusia 30 tahun di Kuala Besut, Terengganu dan lelaki berumur 37 tahun di Tanah Merah, semalam.

"Dengan tertangkapnya dua suspek itu, kami yakin dapat menyelesaikan kes bunuh itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, hari ini.

Ab Rahman berkata siasatan awal terhadap dua suspek itu mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan senjata api dan senjata tajam.

Suspek berusia 30 tahun itu direman 14 hari iaitu sehingga 17 Dis manakala suspek berumur 37 tahun pula selama seminggu hingga 16 Dis ini, katanya.

Dalam kejadian 2 pagi 2 Dis lepas, seorang penarik kereta berusia 48 tahun maut selepas dipercayai ditetak dengan pedang oleh enam individu di Kampung Air Merah, Batu Gajah, Tanah Merah.

Sementara itu, Ab Rahman berkata polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM26,091 di lima daerah di negeri ini dalam Op Tapis Bersepadu Ketua Polis Kelantan yang dilaksanakan selama tiga hari bermula Khamis lepas.

Beliau berkata seramai 216 suspek ditahan dalam operasi berkenaan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Operasi itu dijalankan di daerah Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Sumber: Bernama | 11 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan