KOTA BHARU: Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Kelantan merampas 250 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM250,000 dalam serbuan di Kampung Jebak Puyuh, Pasir Mas pukul 11.30 pagi tadi.
Komandernya Mohd Asri Yahya berkata serbuan dibuat hasil risikan oleh sepasukan anggota Aksem setelah menemui sebuah lori tiga tan yang ditinggalkan di kawasan lapang di kampung itu.
"Mercun dan bunga api itu ditemui di dalam kotak yang disembunyikan di sebalik guni mengandungi botol minuman kaca, bertujuan mengelirukan pihak berkuasa," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Asri berkata mercun dan bunga api berkenaan dipercayai diseludup masuk dari Thailand melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang.
Beliau berkata penyeludup terbabit mungkin cuba mengambil kesempatan menjalankan kegiatan mereka ketika pihak keselamatan lebih menumpukan kepada keadaan berjaga-jaga menghadapi musim tengkujuh dan menyangkakan perbuatan mereka tidak dapat dihidu.
Katanya barangan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Rampasan kali ini adalah rampasan ke-10 melibatkan mercun dan bunga api sejak Januari lalu, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM865,000.
Sumber: Bernama | 5 Disember 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan