Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 20 Disember 2016

Majlis Daerah Pasir Mas diminta promosikan Pasar Baharu Tasek Raja

PASIR MAS: Lebih 600 peniaga Pasar Baharu Tasek Raja di sini, yang dibuka mulai Ogos lepas, mengeluh perniagaan mereka didakwa merosot akibat kurang sambutan daripada orang ramai.

Hasil jualan mereka kini hanya antara RM200 dan RM300 sehari berbanding antara RM500 dan RM1,000 sehari ketika berniaga di pasar lama di bandar Pasir Mas.

Anggota Jawatankuasa Persatuan Peniaga Pasar Baharu Tasek Raja, Nik Mohd Shah Omar mendakwa kurang promosi oleh pihak berkuasa, khususnya Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM), dipercayai antara punca kemerosotan itu.

"Pasar ini perlu dipromosi melalui pelbagai cara kerana ia masih belum dikenali oleh masyarakat di negeri ini atau negeri lain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul di pasar tersebut, hari ini.

Nik Mohd Shah berkata pihak MDPM perlu proaktif melaksanakan pelbagai program yang boleh membantu meningkatkan hasil jualan peniaga di pasar itu.

Beliau berkata para peniaga berharap masalah yang dihadapi mereka dapat diatasi dalam tempoh terdekat.

Sumber: Bernama | 20 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan