Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 2 Disember 2016

Jabatan Imigresen Kelantan letak dua tumpuan atasi masalah PATI

TANAH MERAH: Jabatan Imigresen Kelantan meletakkan dua tumpuan utama bagi mengatasi masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadi ancaman terhadap negara.

Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata tumpuan pertama melibatkan isu berkaitan PATI serta kawalan keselamatan di tiga pintu masuk utama di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

"Kita juga akan memberikan tumpuan untuk memburu orang tengah serta majikan, syarikat pengurusan dan mana-mana agensi yang melanggar undang-undang imigresen.

"Ia selari dengan hasrat Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (Datuk Seri Mustafar Ali) yang mahukan skop penguatkuasaan yang lebih meluas dalam menangani masalah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Imigresen Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di Depot Imigresen Tanah Merah di sini, Khamis.

Wan Mohammed Saupee memulakan tugasnya sebagai Pengarah Imigresen Kelantan bermula hari ini menggantikan Abdullah Daud yang bertukar ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak.

Beliau berkata masalah PATI turut bersangkut paut dengan keselamatan negara, justeru ia merupakan satu daripada tanggungjawab pihaknya.

Sumber: Bernama | 1 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan