KOTA BHARU: Lima pasangan kembar termasuk tiga pasangan seiras dan dua tidak seiras teruja menjalani sesi orientasi kemasukan sekolah ke tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Ghafar di sini.
Pasangan kembar tiga, Nur Maisarah Mohd Fauzi, 7, Nur Amani Mohd Fauzi, 7 dan Nur Umairah Mohd Fauzi, 7, diletakkan dalam kelas yang sama bagi memudahkan mereka menjalani sesi orientasi sebelum memulakan sesi persekolahan sebenar pada 1 Januari nanti.
Menurut Nur Maisarah, dia serta dua adiknya sanggup bersengkang mata bangun awal pagi hanya untuk mengikuti sesi orientasi terbabit.
“Cikgu ajar mewarna, mengenal ABC dan saya dapat ramai kawan di sekolah ini.”katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, dua lagi pasangan kembar, Mohd Aqil Najmi Mohd Ezani,7 dan Nur Aqilah Najwa Mohd Ezani, 7 yang merupakan cucu kepada guru prasekolah terbabit, Norma Othman, 55, juga turut bersemangat meneruskan sesi orientasi.
Menurut Norma, cucunya Mohd Aqil sangat gemarkan mata pelajaran matematik dan selalu mengingati sifir.
“Mohd Aqil memang cepat dalam pengiraan dan dia amat teruja untuk ke sekolah bersama kembarnya, Nur Aqilah.
“Harapan saya agar cucu sulung saya ini dapat menimba ilmu dan menjadi insan yang berguna kepada kedua ibu bapanya dan berjaya dalam kehidupan kelak,” katanya.
Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Wan Hassan Wan Abdullah berkata, beliau mengharapkan murid baru dapat menjalani sesi persekolahan yang lebih baik selepas menjalani sesi orientasi dua hari bermula semalam.
“Semoga sesi 1 Januari nanti berjalan baik dan murid-murid dapat belajar dalam keadaan selesa dan tiada lagi masalah murid yang tidak mahu sekolah.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 29 Disember 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan