Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 3 Disember 2016

Mangsa banjir di Pasir Puteh kekal

KOTA BHARU: Mangsa banjir di Pasir Puteh kekal 26 orang malam ini, menurut portal rasmi kerajaan Kelantan.

Menurut portal http://ebanjir.kelantan.gov.my, kesemua mangsa yang berasal dari Kampung Tasek, kini ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja, melibatkan lima lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sehingga 8 malam ini, paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang di Pasir Mas berada pada bacaan 8.25 meter berbanding paras amaran 8 meter.

Selain itu, Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai mencatat 32.23 meter berbanding paras berjaga-jaga 32 meter; Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai 27.72 meter (paras berjaga-jaga 27 meter); Sungai Kelantan di Kuala Krai 20.21 meter (paras berjaga-jaga 20 meter) dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah 13.58 meter (paras berjaga-jaga 12 meter).

Di PASIR PUTEH, seorang mangsa, Zuki Mat Hassan, 42, berkata beliau dipindahkan anggota penyelamat pada 4 petang tadi, selepas kawasan rumahnya mula digenangi air berikutan hujan lebat sejak malam semalam.

"Di beberapa tempat berdekatan rumah, air naik sehingga mencecah 1.5 meter menyebabkan saya mengambil keputusan berpindah kerana bimbang keselamatan anak-anak," katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Raja di sini, hari ini.

Mohd Zuki turut berpindah ke pusat pemindahan tersebut bersama isteri dan lima anaknya, masing-masing berumur antara tiga bulan dan 14 tahun.

Seorang lagi mangsa Sarimah Noor, 45, berkata beliau berpindah ke pusat pemindahan itu bersama lima anaknya selepas rumahnya dinaiki air sedalam kira-kira 0.3 meter.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh, Hazizon Aziz ketika dihubungi berkata pihaknya sudah membekalkan barangan keperluan asas seperti tikar, selimut, tuala, sabun dan ubat gigi bagi keperluan mangsa banjir.

Beliau berkata pihaknya juga sedang menguruskan bekalan makanan kepada mangsa banjir terbabit, malam ini.

Sumber: Bernama | 2 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan