Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 9 Disember 2016

Malaysia masih ikut jadual capai status negara maju menjelang 2020

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa Malaysia masih mengikut jadual dalam mencapai status negara maju pada tahun 2020.

Perdana menteri berkata, negara sememangnya sedang menuju ke arah itu khususnya mencapai status negara berpendapatan tinggi, dan konsep Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diperkenalkan beliau adalah bagi melakar hala tuju selepas tahun 2020.

"Oleh kerana kita semakin menghampiri tahun 2020, Malaysia memerlukan wadah baharu bagi meneruskan perjuangan membangunkan negara ini.

"Takkanlah pada tahun 2020 nanti, baru nak mula merancang. Kita perlu mulakan sekarang," kata Najib menerusi rakaman ucapan di laman blog rasmi beliau najibrazak.com.

Najib berkata, menjelang 2020, sudah banyak program dan rangka kerja seperti Rancangan Malaysia ke-11 dan Dasar Transformasi Nasional (DTN) dilaksanakan dalam usaha mencapai status negara maju.

Dalam pada itu Najib berkata TN50 akan bermula dengan penglibatan bersama generasi baharu yang akan diketuai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

"Saya ingin menjemput generasi muda mengambil bahagian dalam merangka masa depan negara bersama-sama dengan beliau.

"Saya yakin anak muda kita mempunyai banyak buah fikiran dan tenaga untuk meneruskan perjuangan menjadikan Malaysia negara yang makmur dan berdaya saing," kata Najib.

TN50 diperkenalkan oleh Najib dalam pembentangan Bajet 2017 pada Oktober lepas yang menjangkau proses dan gerak kerja selama tiga dekad bagi memeta hala tuju negara menjelang 2050.

Pada 2010, Najib turut memperkenalkan DTN bagi tempoh bermula 2011 hingga 2020 yang merupakan dasar pemetaan program transformasi sektoral kerajaan termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baharu Ekonomi.

Sumber: Bernama | 9 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan