KOTA BHARU: Seorang penarik kereta maut ditetak dengan parang panjang setelah diserang oleh enam lelaki yang menyamar sebagai polis di Kampung Air Merah, Batu Gajah, Tanah Merah awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad berkata mangsa, Wan Ishak Wan Ismail, 48, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di belakang badan dan kaki kiri serta hampir putus pergelangan tangan kanan.
"Mangsa didatangi sekumpulan enam lelaki di rumahnya pukul 2 pagi tadi sebelum ditetak dengan menggunakan parang panjang.
Siasatan awal mendapati motif kejadian berkaitan dendam dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Omar Abdul Aziz, Ketereh di sini, hari ini.
Sementara itu, isteri mangsa Rattana Daengbut, 45, yang berasal dari Thailand ketika ditemui di rumahnya berkata, ketika kejadian beliau dan empat anaknya berusia antara dua dan 18 tahun berada di dalam rumah, manakala suaminya berada di luar rumah memanaskan badan menggunakan unggun api.
"Suami kemudian memangil saya pada pukul 1.30 pagi untuk mengurut beliau sebelum saya masuk ke dalam rumah, kira-kira lima minit kemudian.
"Tak lama selepas itu, saya terdengar ada orang panggil suruh buka pintu, mereka kata mereka polis, bagaimanapun lepas saya buka pintu saya dapati enam lelaki membawa enam bilah parang panjang," katanya.
Rattana berkata berikutan itu beliau dan anak-anaknya bergegas menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam bilik dan sempat melihat suaminya yang berada di luar rumah ditetak bertalu-talu oleh keenam-enam suspek.
Katanya kesemua lelaki berkenaan hanya beredar dengan empat kereta selepas merosakkan dua buah kereta yang diletak di halaman rumah.
Menurut Rattana, suaminya meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital. Mayat dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.
Sumber: Bernama | 2 Disember 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan