KOTA BHARU: Masjid Muhammadi kini melalui satu lagi fasa pembangunan apabila Dataran Muhammadi membabitkan kos sebanyak RM1.7 juta sudah siap dibina.
Ia membabitkan pembinaan 12 kios perniagaan, dua wakaf, satu pondok polis, tempat duduk dan ruang parkir kenderaan jemaah serta bas pelancong.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Makhtar Mustapha, berkata projek berkenaan adalah hasil inisiatif dan kerjasama antara Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).
"Sejak 2014 hingga 2016, MPKB menerima lebih 109 projek membabitkan nilai RM10 juta yang dimanfaatkan untuk kegunaan orang ramai.
"Ia termasuk projek Menara Tinjau di Tambatan Diraja bernilai RM1.4 juta, laluan pejalan kaki, projek pencahayaan di sekitar Kota Bharu dan menaik taraf Dataran Ilmu di Kelab PAS," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap Menaik Taraf Dataran Muhammadi di Zon Warisan Budaya, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua MPKB, Datuk Zamri Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh. Makhtar berkata, menerusi naik taraf itu, ia secara tidak langsung akan menyumbang kedatangan pelancong ke negeri itu, sekali gus mampu meningkatkan ekonomi.
"Kita harap segala kemudahan diberikan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin supaya ia bertahan lama, selain memberikan imej baik di mata pelancong," katanya.
Sumber: Berita Harian | Timur | 20 Disember 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan