BESUT: Jalan utama dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Jambatan Sungai Jerteh ditutup sementara kepada semua jenis kenderaan mulai 11 malam pada 7 Disember hingga 4.30 pagi 8 Disember ini.
Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Rosfaizal Rosli berkata ia dibuat bagi menjalankan kerja-kerja mengangkat, memasang struktur besi jambatan dan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di atas Jambatan Sungai Jerteh.
Katanya, sepanjang tempoh itu, pengguna jalan raya dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu boleh menggunakan jalan alternatif Simpang Gong Kemuntong ke Kuala Besut sebelum ke Kota Bharu melalui Seberang Jerteh ke sempadan Kelantan.
Bagi pengguna jalan raya dari Kota Bharu pula, mereka boleh menggunakan jalan Seberang Jerteh ke Kuala Besut sebelum mengikuti Jalan Kampung Raja ke Tembila dan ke Renek sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu.
"Pihak kami memohon maaf di atas kesulitan ini, dan berharap pengguna jalan raya dapat menggunakan laluan alternatif seperti yang dicadangkan", katanya ketika dihubungi Bernama di sini Khamis.
Rosfaizal berkata jika berlaku sebarang masalah, pengguna jalan raya boleh menghubungi beliau di talian 013-3801044 atau Hasrul di 011-1881286.
Sumber: Bernama | 1 Disember 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan