Aishah Noh setia menemani anaknya di HSNZ. |
KUALA TERENGGANU: Muhamad Anuar Elias, 34, mangsa hilang selama 13 hari di Kampung Losong Datuk Amar, di sini memaklumkan bahawa dia terdengar suara halus memanggil namanya pada malam kejadian dia dilaporkan hilang.
Katanya lagi, dia mendengar suara tersebut pada malam 25 November lalu sebaik sahaja rakan-rakannya pulang selepas mereka habis berbual di pondok di tepi sungai.
Menurut Muhamad Anuar, dia hanya mengikut suara yang kedengaran sayup-sayup itu sehingga sampai di pokok rengas besar yang terletak berhampiran bangsalnya dan terjatuh ke dalam sebuah lubang gelap.
“Saya hanya dengar suara halus memanggil tapi tidak nampak lembaga atau apa-apa..sampai di pokok itu (rengas), keadaan sangat gelap dan lepas itu saya tidak ingat apa-apa,” katanya.
Pencari udang yang mengalami luka pada tangan, kaki dan badan itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan berada dalam keadaan stabil.
Sepanjang kehilangannya, Muhamad Anuar ada mendengar orang memanggil namanya ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan namun dia tidak mampu bersuara untuk menyahut panggilan tersebut.
Selama tempoh itu juga, dia tidak ingat apa yang berlaku kepadanya kecuali berada dalam keadaan gelap.
“Tak tahu keadaan macam mana, pandangan mata saya gelap cuma nampak macam kunang-kunang,” katanya ketika menceritakan kembali kejadian dan pengalaman selama 13 hari dia berada di bawah pokok rengas itu.
Sebelum ditemui oleh sahabat baiknya, Hamdan Mat Daud pada malam Jumaat lalu, Muhamad Anuar berkata dia terdengar suara azan Maghrib sedangkan selama berada di situ dia langsung tidak mendengar bunyi azan.
Dia kemudian cuba merangkak naik ke tebing sambil menjerit meminta tolong dan kemudian diselamatkan oleh Hamdan.
“Masa tu saya hanya ingat nak balik ke pondok yang saya tinggal di tepi sungai, itu sahaja,” katanya lagi.
Pada awalnya Muhamad Anuar merasakan dirinya seperti berada di sebuah pulau, namun itu hanya mainan perasaannya sahaja.
Bagaimanapun, dia amat bersyukur kerana berjaya keluar dengan selamat setelah hilang selama 13 hari tanpa kesan.
Muhamad Anuar yang dilaporkan hilang pada 26 November lalu dijumpai selamat kira-kira jam 7.40 malam Khamis lalu di celah akar pokok rengas di Kampung Losong Datuk Amar pada jarak 150 meter dari bangsalnya iaitu lokasi kali terakhir dia berada sebelum hilang.
Ketika ditemui, dia yang memakai baju dan seluar hitam, pakaian sama dipakai sebelum hilang berada dalam keadaan lemah, tidak bermaya, kebingungan selain luka pada tangan, kaki dan badan.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Terengganu | 11 Disember 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan