Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 21 Disember 2016

JPJ Kelantan ambil tindakan terhadap 280 kenderaan dari Thailand yang langgar peraturan

PASIR MAS: Sebanyak 280 kenderaan dari Thailand dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga November lepas.

Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapha berkata antara kesalahan paling ketara yang dilakukan ialah tiada Permit Edaran Antarabangsa (ICP) dengan sebanyak 257 saman dikeluarkan.

Kesalahan lain ialah tiada lesen memandu sebanyak tujuh kes, lesen pemandu tamat tempoh (tiga), langgar syarat permit ICP (dua), cermin gelap (dua), kesalahan tenikal (sembilan), memotong di garisan berkembar (tujuh), dan lain-lain kesalahan (11 kes), katanya kepada pemberita selepas meninjau Ops Kenderaan Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Rantau Panjang di sini, hari ini.

Mahasan berkata JPJ Kelantan melaksanakan Ops Kenderaan Thailand secara berterusan sepanjang tahun ini dengan objektif utama bagi mengawal kemasukan kenderaan Thailand ke Malaysia yang tidak mengikut peraturan dan memastikan pemandunya mematuhi undang-undang ketika berada di negara ini.

"Terdapat tiga pintu masuk ke Malaysia di sempadan Kelantan-Thailand iaitu Rantau Panjang; Pengkalan Kubor, Tumpat; dan Bukit Bunga, Tanah Merah; yang dikawal oleh JPJ melalui Stesen Kawalan Sempadan (SKS).

"Fungsi utama stesen ini ialah mengeluarkan ICP, menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan dan merekodkan jumlah kemasukan kenderaan Thailand ke negara ini atau sebaliknya," katanya.

Mahasan berkata sehingga November lepas, sebanyak 36,038 ICP dikeluarkan kepada kenderaan asing dengan SKS Rantau Panjang adalah pintu masuk paling banyak mengeluarkan ICP iaitu 20,358.

Sumber: Bernama | 20 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan