KOTA BHARU: Peruntukan untuk kerja membaik pulih kerosakan akibat banjir akan disalurkan apabila berakhirnya musim tengkujuh selepas mengambil kira tahap bencana itu.
Pegawai Pembangunan Jajahan Kota Bharu Noorazam Muhammad Noor berkata langkah itu bagi memastikan peruntukan dapat diagihkan dengan lebih berkesan kepada mangsa banjir.
Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk membaik pulih pelbagai infrastruktur dan memberi bantuan kepada mangsa berikutan kejadian banjir besar di Kelantan pada 2014, katanya selepas merasmikan Program Eksesais Pengurusan Bencana Banjir anjuran Persatuan Penggawa Kelantan di Pengkalan Datu di sini, hari ini.
Program itu, yang membabitkan 65 penggawa dan lebih 100 penduduk sekitar Kampung Sering, bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin masyarakat dan komuniti berhubung persediaan menghadapi musim banjir tahun ini.
Antara pengisian program itu adalah tentang pengurusan banjir, simulasi menyelamat mangsa lemas atau terperangkap dan proses menyegerakan bantuan memindahkan mangsa ke tempat yang selamat selain kesedaran menjaga kebersihan ketika banjir.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penggawa Kelantan Yasin Othman berkata program itu akan dijadikan modul di semua jajahan lain di negeri ini.
"Inisiatif ini diharap dapat memantapkan lagi kefahaman dan kemahiran penggawa dalam memperkasa peranannya sebagai pemimpin masyarakat sebelum disebar luas kepada komuniti di kawasan masing-masing," katanya.
Sumber: Bernama | 5 Disember 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan