Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 20 Disember 2016

RM85 juta dibelanja sejak 2013 bangunkan bandar raya Kota Bharu - Pengarah JPP

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan membelanjakan sebanyak RM85 juta bagi membangunkan 109 projek termasuk beberapa mercu tanda di bandar Kota Bharu sejak 2013 sehingga kini, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Makhtar berkata peruntukan yang disalurkan di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu merangkumi pelbagai projek termasuk menaik taraf Dataran Muhammadi serta kemudahan pelancongan di Zon Warisan Budaya di sini, yang menelan kos sebanyak RM1.56 juta.

Naik taraf Dataran Muhammadi itu merangkumi pembinaan 12 unit kiosk perniagaan, dua unit wakaf dan satu Pondok Bit Polis, 'paver block', infrastruktur membabitkan jalan serta saliran air, sistem pencahayaan, pengindahan landskap serta mercu tanda Wau Bulan, katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap Menaiktaraf Dataran Muhammadi serta Kemudahan Pelancongan di Zon Warisan Budaya di sini, Selasa.

Makhtar berkata antara projek lain kerajaan Persekutuan ialah projek Bandar Selamat bernilai RM10 juta, Menara Tinjau di Tambatan DiRaja (RM1.4 juta) dan naik taraf Dataran Ilmu (RM450,000).

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan menghadapi banjir, Makhtar berkata seramai 6,000 kakitangan dari Pejabat Tanah dan Jajahan, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain agensi berkaitan kini berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi bencana itu.

"Sebanyak 737 pusat pemindahan banjir diwujudkan melibatkan sekolah dan balai raya yang mampu menampung kira-kira 200,000 mangsa pada satu-satu masa.

"Selain itu, bekalan makanan turut dihantar ke pangkalan-pangkalan hadapan selain penyediaan aset pengangkutan seperti helikopter, lori, van dan enam bot amfibia," katanya.

Sumber: Bernama | 20 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan