Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 19 Disember 2016

6,000 Orang Asli Gua Musang berdepan kemusnahan kawasan tadahan air

GUA MUSANG: Kira-kira 6,000 Orang Asli di lebih 40 kampung di kawasan pedalaman jajahan ini, dikatakan bakal berdepan kemusnahan 50 kawasan tadahan air bukit di tempat mereka.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusof mendakwa kemusnahan kawasan tadahan air itu berpunca daripada aktiviti pembalakan, pembukaan ladang dan kebun sayur secara tidak terkawal.

"Berdasarkan maklumat yang saya terima, 17 kawasan tadahan air bagi kegunaan masyarakat Orang Asli musnah sejak 10 tahun lepas dan sukar dibina kembali berikutan aktiviti pembalakan untuk tujuan pertanian.

"Malah, mereka juga tidak dapat menggunakan sumber air sungai kerana ia kotor dan berselut," katanya kepada pemberita selepas meninjau hakisan bukit di Kampung Jedip, Lojing di sini hari ini.

Ab Aziz yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan kelulusan tanah untuk tujuan pembalakan dan pertanian terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Beliau berkata masalah berkenaan telah lama dibangkitkan Orang Asli yang tinggal di jajahan ini, namun sehingga sekarang masih belum mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri.

"Kita faham sumber utama kerajaan negeri bergantung kepada hasil balak, tapi janganlah sehingga memusnahkan kawasan tadahan air bukit yang menjadi keperluan Orang Asli," katanya.

Dalam pada itu, Ab Aziz berkata pemimpin tempatan tidak pernah menghasut atau menyokong masyarakat Orang Asli untuk mengadakan sekatan di beberapa laluan pembalakan sebelum ini.

Beliau berkata tindakan itu diambil oleh komuniti Orang Asli kerana terdesak berikutan kawasan tadahan air dan tanah kubur anggota keluarga mereka turut dimusnahkan.

Sumber: Bernama | 19 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan