Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 21 Disember 2016

Program Empower ECER bantu pelajar cemerlang PT3

TUMPAT: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) nampaknya bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan ekonomi wilayah itu semata-mata tetapi juga membantu membangunkan modal insan di situ.

ECER membantu dengan menyediakan tuisyen dan perkhemahan pendidikan bagi pelajar-pelajar miskin kurang cemerlang agar mereka boleh mencapai keputusan akademik yang lebih baik.

"Jika dahulu, keputusan peperiksaan saya kurang memberangsangkan terutama subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab namun selepas mengikuti tuisyen khas anjuran ECER sejak April, semuanya berubah.

"Sebelum ini, bagi tiga subjek berkenaan, gred saya cukup-cukup makan sahaja namun dalam keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan Isnin lepas, saya mendapat keputusan cemerlang 11A," kata Muhammad Aziman Syaqiran Mat Zain, 15.

Bercakap kepada Bernama, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud Mahyiddin, Pasir Pekan itu berkata beliau mengikuti kelas tuisyen anjuran ECER di bawah Latihan Akademik selama lima hari seminggu di sekolahnya bermula pukul 2 petang hingga 4 petang.

Muhammad Aziman, anak kedua daripada tiga beradik itu yang tinggal di Kampung Pasir Hilir Tengah berkata selain kelas tuisyen, beliau turut mengikuti 'Super Math Camp' anjuran agensi berkenaan yang berteraskan 'belajar sambil bermain'.

"Ia sekaligus dapat membantu saya lebih memahami subjek Matematik dengan lebih mudah kerana cara penyampaian ketika mengikuti kem berkenaan sangat menarik dan mudah difahami.

"Saya bersyukur kerana terpilih untuk mengikuti kelas tuisyen anjuran ECER kerana dapat meningkatkan pencapaian diri, sekaligus mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan," katanya.

Seorang lagi peserta, Muhammad Nizamuddin Mat Jusoh, 15, dari Kampung Pulau Raja di sini, berkata walaupun hanya mengikuti tuisyen anjuran ECER pada Julai lepas, namun dia berjaya meningkatkan penguasaan dalam subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, malah mampu mendapat 11A dalam peperiksaan PT3.

Pelajar SMK Sungai Pinang itu berkata sebelum ini, penguasaannya dalam kedua-dua subjek boleh dikatakan agak sederhana namun dengan mengikuti tuisyen anjuran ECER, beliau dapat meningkatkan pemahaman dalam subjek itu dengan lebih baik.

"Ini merupakan hadiah kepada ibu (Zainab Mamat, 57) kerana bersusah-payah membesarkan saya selepas ayah meninggal dunia ketika saya berusia empat bulan," katanya.

Sementara itu, ECER dalam satu kenyataan berkata Program Empower ECER Latihan Akademik di kawasan Machang dan Tumpat mula diperkenalkan pada tahun ini, dengan mensasarkan peningkatan dalam pencapaian prestasi akademik pelajar dalam peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Seramai 600 pelajar dari 15 buah sekolah di Machang dan Tumpat telah terpilih untuk menyertai program ini dengan golongan sasaran adalah para pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM pada 2016, dari latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan serta lemah dari segi pencapaian akademik.

"Sebanyak 15 sekolah di Machang dan Tumpat telah terpilih untuk menyertai program ini dan ia merupakan inisiatif serampang dua mata di bawah program pembangunan modal insan yang dilancarkan pada 2010," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut program yang dilancarkan bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat luar bandar dengan masyarakat bandar.

Di samping itu, ECER juga menyediakan program latihan kemahiran dan keusahawan untuk orang dewasa, tambah kenyataan itu.

Sumber: Bernama | 21 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan