KOTA BHARU: Perkhidmatan kereta api antara bandar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menghubungkan Tumpat dan Kuala Lipis dihentikan selama seminggu berikutan kejadian tanah runtuh di sembilan lokasi antara Stesen Kuala Krai dan Stesen Bukit Abu.
Pengurus Wilayah Timur KTMB Zaid Ibrahim berkata perkhidmatan itu terpaksa dihentikan bagi kerj-kerja baik pulih di kawasan yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh berkenaan.
"Bagaimanapun, perkhidmatan tren ekspres masih berjalan seperti biasa dengan penumpang dari Stesen Kuala Krai, Tanah Merah, Tumpat dan Pasir Mas akan dibawa menggunakan bas ke Stesen Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren ekspres ke bahagian selatan tanah air," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.
Sementara itu, mengulas mengenai kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan sebuah kereta api antara bandar dari Tumpat ke Kuala Lipis tergelincir pagi tadi, Zaid berkata kejadian tersebut berlaku dekat Stesen Kuala Gris, Dabong.
"Tren tersebut bertolak dari Stesen Tumpat pada pukul 4.30 pagi tadi menghala ke Kuala Lipis. Apabila tiba di sebuah terowong, pemandu tren mendapati berlaku tanah runtuh dan bertindak mengundurkan tren.
"Bagaimanapun, ketika sedang mengundurkan tren tersebut, tiba-tiba tanah runtuh berlaku dan menghempap tren tersebut sehingga menyebabkan ia tergelincir dari landasan," katanya.
Beliau berkata bagaimanapun, kesemua 33 penumpang dan empat kru tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kesemua penumpang dan empat kru berkenaan kemudiannya berjalan kaki sejauh dua kilometer menuju ke Stesen Kuala Gris sebelum dipindahkan dengan bas ke Stesen Dabong.
"Penumpang kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kuala Lipis dengan sebuah lagi tren yang menunggu di Stesen Dabong untuk ke destinasi masing-masing," katanya.
Sumber: Bernama | 31 Disember 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan