GUA MUSANG: Puluhan peneroka yang tinggal di Rancangan Tanah Felda Chiku 7 di sini terperangkap apabila jalan utama yang menghubungkan kampung itu ke Jalan Kuala Krai-Gua Musang dinaiki air sedalam kira-kira 1.5 meter malam tadi.
Ketua Peneroka Rancangan Tanah Felda Chiku 7, Che Omar Che Amat berkata ia susulan hujan lebat selama lima jam bermula 4 petang semalam menyebabkan air di sebatang anak sungai melimpahi kawasan rendah, sekali gus menyebabkan laluan terputus.
"Tiga rumah penduduk turut dimasuki air pada paras buku lali namun tiada penduduk dipindahkan akibat banjir kilat itu.
"Namun, ada penduduk yang keluar ke bandar pada sebelah petang dan pulang ke kampung pada waktu malam terkandas lebih 12 jam kerana jalan utama ditenggelami air, sebelum ia surut sepenuhnya pada 10 pagi tadi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh Datuk Nozula Mat Diah berkata jalan ke rancangan tanah Felda itu rendah dan mudah dinaiki air apabila hujan lebat dan memberi masalah terutama kepada peneroka untuk keluar masuk ke kawasan kampung.
"Apa pun kita berharap peneroka yang tinggal di kawasan rendah khususnya di tepi sungai supaya sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan banjir ketika musim tengkujuh," katanya.
Sumber: Bernama | 11 November 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan