Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 4 Disember 2016

RM2 juta diperlukan atasi banjir di Kampung Tasek, Pasir Puteh

PASIR PUTEH: Sebanyak RM2 juta diperlukan bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda Kampung Tasek, Bukit Awang di sini, sejak 1990., kata Pengerusi Jawatankuasa Bencana Jajahan Pasir Puteh, Mohamed Anis Hussein.

Katanya, peruntukan itu diperlukan bagi mendalam, melebar dan memanjangkan parit sedia ada sepanjang tujuh kilometer bermula dari sempadan Jerteh di Terengganu sehingga ke Sungai Semerak di sini.

"Kami sudah berbincang dengan Pejabat Pengairan dan Saliran (PPS) Pasir Puteh untuk membuat permohonan bagi mendapatkan peruntukan tersebut daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke kampung berkenaan yang terjejas dengan banjir sejak Jumaat lepas.

Hadir sama jurutera PPS Pasir Puteh, Ir Mohd Suhaimi Ibrahim, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Abdu Rozak Muhammad dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar.

Bencana itu menyebabkan 26 mangsa yang terdiri daripada enam keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja di sini, selepas kampung tersebut digenangi air sedalam hampir satu meter.

Mohamed Anis, yang juga Ketua Jajahan Pasir Puteh, berkata penduduk terpaksa dipindahkan hampir setiap tahun apabila parit sedia ada hanya mampu mengalirkan air sejauh tiga kilometer dari sempadan Jerteh ke Kampung Buaya Ikat sebelum terhenti di sebuah tasik di kampung tersebut.

"Keadaan itu menyebabkan air dalam tasik berkenaan dengan mudah melimpah tebing dan menenggelamkan Kampung Tasek serta jalan yang menghubungkan penduduk dengan bandar Pasir Puteh.

"Jika projek mendalam, melebar dan memanjangkan parit itu dilaksanakan, aliran air yang datang dari Sungai Pelagat (di Besut, Terengganu) dapat mengalir laju sehingga ke Terusan Semerak dan seterusnya ke Laut China Selatan," katanya.

Sumber: Bernama | 4 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan