Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 4 Disember 2016

12,000 keluarga di Rantau Panjang perlu bersiap sedia dipindah

Senator, Datuk Abdullah Mat Yasin (duduk, dua kiri) meninjau paras air Sungai Golok di Rantau Panjang hari ini.
PASIR MAS: Sebanyak 12,000 keluarga di kawasan parlimen Rantau Panjang, di sini dijangka terjejas dan perlu dipindahkan sekiranya air Sungai Golok melimpahi tebing dan menenggelamkan kawasan rumah mereka dalam tempoh sehari dua lagi.

Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Senator Datuk Abdullah Mat Yasin berkata, kesemua keluarga tersebut akan ditempatkan di 63 pusat pemindahan banjir yang telah disediakan kerajaan.

"Bukan itu sahaja, kita juga telah membuat persiapan untuk memberikan bantuan segera sekiranya banjir melanda kawasan berkenaan.

"Kita harap penduduk di kawasan Rantau Panjang dapat membuat persediaan awal untuk menghadapi banjir memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini," katanya.

Beliau demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan banjir di sepanjang Sungai Golok, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Saad; Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Mohd. Adni Ibrahim dan Pengerusi Sukarelawan Banjir (Sukba), Ghazali Ismail.

Abdullah berkata, persediaan awal itu bagi memastikan kelancaran tugas ketika kerja-kerja menyelamat dijalankan oleh agensi penyelamat dan pihak berkuasa.

Katanya, antara kampung yang sentiasa dinaiki air ialah Kampung Lanang, Gong Kedap, Tersang Lubuk Stol dan kawasan pekan Rantau Panjang

Setakat ini, bacaan terkini menunjukkan air Sungai Golok meningkat kepada 7.91 meter iaitu menghampiri paras amaran.
Sumber: Utusan Online | 4 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan