KOTA BHARU: Tabung Kaseh Kanser Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menyumbangkan peralatan Kimoport dan Stomabag khusus untuk kegunaan pesakit miskin kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini.
Presidennya Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata dua peralatan itu yang bernilai kira-kira RM50,000 adalah bagi membantu pesakit daripada golongan miskin luar bandar yang mendapatkan rawatan kanser di dua hospital berkenaaan.
"Pembelian dua peralatan itu adalah hasil kutipan derma pada Malam Bingkisan Kaseh yang diadakan pada November lalu di mana kita berjaya kumpul derma sebanyak RM1 juta," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan tersebut di HRPZII di sini, hari ini.
Beliau berkata selain sumbangan peralatan, POKB turut menyumbang sebanyak RM1,000 kepada pesakit kanser yang berdaftar dengan persatuan itu bagi menampung kos tambang mereka berulang-alik ke hospital.
"Kita juga akan menambah sumbangan kepada pesakit selepas wang tunai RM1,000 itu habis digunakan bagi menggalakkan mereka mendapatkan rawatan secara berkala di hospital kerajaan," katanya.
Sheikh Ahmad Dusuki berkata setakat ini POKB sudah membantu seramai 50 pesakit kanser dari Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor serta Kelantan dan membelanjakan lebih RM100,000 bagi membantu pesakit-pesakit berkenaan.
Sumber: Bernama | 18 Disember 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan