KOTA BHARU: Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat di kawasan pesisir pantai negeri di Pantai Timur Semenanjung dari 17 hingga 20 Disember ini, terutama pada awal pagi.
Hujan lebat secara berterusan dalam tempoh empat hari itu dijangka menyebabkan banjir di kawasan rendah dan menjejaskan kawasan kediaman penduduk.
Sehubungan itu, Jurucakap Jabatan Meteorologi, mengingatkan penduduk di kawasan pesisiran pantai terutama daerah Tumpat dan Kota Bharu supaya berwaspada dengan kemungkinan fasa kedua gelombang banjir di Kelantan.
"Walaupun hujan fasa kedua itu akan berlaku pada awal pagi, penduduk perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir.
"Pihak kita (Jabatan Metereologi) akan sentiasa membuat pemantauan dan tinjauan keadaan cuaca dari semasa ke semasa untuk dimaklumkan kepada orang ramai," katanya ketika dihubungi hari ini.
Awal bulan ini hujan lebat selama empat hari menyebabkan beberapa kawasan rendah dilanda banjir termasuk di Pasir Puteh, Bachok dan Kota Bharu.
Berikutan itu, sebanyak 19 keluarga membabitkan 75 mangsa dipindahkan ke empat pusat pemindahan.
Sumber: Berita Harian | Timur | 14 Disember 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan