Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 9 Disember 2016

Suara minta tolong bawa penemuan pemuda yang hilang dua minggu lepas

KUALA TERENGGANU: Suara lemah Muhamad Anuar Elias, meminta tolong yang didengar rakannya malam tadi, menyelamatkan pemuda itu selepas dua minggu hilang di Kampung Losong Atap Zin, dekat sini.

Mohd Hamdan Mohd Daud, 38, pada mulanya menyangkakan panggilan itu hanya mainan perasaannya sahaja, lalu mengabaikannya.

"Ketika itu lepas waktu maghrib dan saya menjala di tepi sungai sebelum terdengar suara orang meminta pertolongan.

"Pada mulanya saya hanya membiarkan sahaja kerana menyangkakan ia mainan perasaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, malam tadi.

Muhamad Anuar, 34, ditemui dalam keadaan selamat pada 7.45 malam tadi oleh penduduk kampung berdekatan pokok rengas di dalam kawasan pondok tempat tinggalnya.

Mengimbas kembali penemuan rakannya itu, Mohd Hamdan berkata walaupun mahu mengabaikan panggilan itu, perasaan ingin tahu kemudian mengheretnya ke lokasi di mana dia mendengar suara itu.

"Saya tepis segala rasa takut dan sebagainya saya terus mencari arah suara tersebut...memang terkejut rupanya Nuar yang panggil saya.

"Keadaan dia memang lemah, lesu dan tidak bermaya namun syukur dia selamat selepas puas kami mencari di serata ceruk sungai dan kampung selama lebih dua minggu," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Kuala Terengganu Supt Suffian Sulaiman ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Sumber: Bernama | 9 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan