BACHOK: Sebuah kapal tunda dan sebuah tongkang yang dalam perjalanan dari Thailand ke Tanjung Belungkor, Johor yang terkandas di pantai Tok Kederat di sini sejak dua hari lepas setelah dipukul ombak besar, dijangka dapat meneruskan perjalanan Sabtu ini.
Kapten Kapal Tunda MCL Power 111, Bayu Ramdani Saputra berkata pihaknya sedang berunding dengan pihak berkaitan untuk mendapatkan sebuah kapal tunda bagi membolehkan kapalnya bersama sebuah tongkang dapat meneruskan perjalanan.
"Setakat ini, sudah ada pihak yang menyatakan kesanggupan untuk membantu supaya kapal dan tongkang ini dapat kembali meneruskan perjalanan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Tok Kederat di sini hari ini.
Bayu Ramdani, warga Indonesia berkata pihaknya memilih Sabtu ini untuk meneruskan perjalanan berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa ancaman laut bergelora di Laut China Selatan akan berkurangan.
Ketika kejadian itu berlaku, tongkang yang ditunda turut berisi kira-kira 5,800 tan metrik batu kapur dengan lapan orang kru yang kesemuanya selamat.
Kapal berkenaan yang berdaftar di Port Klang sepatutnya sampai di Tanjung Belungkor, Johor hari ini selepas meninggalkan Thailand Rabu lepas.
Sumber: Bernama | 25 Jan. 2017