Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 14 Januari 2017

Peniaga bantah pindah ke pasar baharu di Pasir Puteh

PASIR PUTEH: Kira-kira 500 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah arahan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) supaya berpindah ke Pasar Pasir Puteh Sentral bermula esok.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Pasir Puteh, Kamarzaman Che Ngah berkata arahan itu tidak bertimbang rasa kerana pasar yang baharu dibina itu terletak di kawasan agak terpencil.

"Kami telah memohon untuk berunding dengan MDPP bagi menyelesaikan masalah itu, namun tiada maklum balas diterima," katanya kepada pemberita selepas demonstrasi yang diadakan di Pasar Besar Pasir Puteh hari ini.

Selain aspek lokasi, beliau mendakwa pasar baharu itu mempunyai ruang kedai lebih kecil dan kadar sewa yang dikenakan juga lebih tinggi berbanding di tempat lama.

"Kami bukan nak mengingkari arahan itu tetapi mahu pemindahan ditangguhkan dahulu sementara masalah antara peniaga dan MDPP dapat diselesaikan secara rundingan 'menang-menang'," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MDPP Mohd Anis Hussein ketika ditemui pemberita berkata beliau mahu peniaga mematuhi arahan berpindah ke pasar baharu yang berkonsepkan pengudaraan terbuka berbanding pasar lama.

Beliau berkata kadar sewa dikenakan amat berpatutan, antara RM60 dan RM350 sebulan, bergantung kepada luas tapak kedai yang disewa.

Katanya pengubahsuaian terhadap pasar baharu akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas peniaga.

Sumber: Bernama | 14 Jan. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan