KUALA BERANG: Gangguan telekomunikasi di Ketereh, Kampung Limbat dan Kampung Melor di Kelantan, yang terjejas akibat banjir, telah pulih sepenuhnya, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.
Beliau berkata talian telekomunikasi di tiga menara pemancar telekomunikasi itu terjejas berikutan berlaku gangguan bekalan eletrik dan ia menjejaskan kira-kira 2,000 pengguna.
"Bagaimanapun, pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama telco telah berusaha memulihkan gangguan bekalan tersebut dan dalam tempoh tidak sampai lapan jam, ia dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas meninjau beberapa pusat pemindahan banjir di Hulu Terengganu malam tadi.
Mengulas mengenai banjir gelombang ketiga di daerah tersebut, Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu, berkata satu mesyuarat khas akan diadakan dengan melibatkan pelbagai agensi untuk mengkaji faktor dan mencari alternatif untuk mengurangkan banjir.
"Mungkin juga kita akan melihat struktur sungai sama ada perlu didalamkan dan mungkin juga ada cara lain," katanya.
Jailani berkata pihaknya juga akan mengkaji keperluan mewujudkan beberapa pusat pemindahan yang baharu untuk menempatkan mangsa banjir.
Dalam tinjauan itu, beliau turut mengagihkan barangan keperluan berupa tilam toto, selimut, lampin pakai buang dan makanan kepada mangsa banjir.
Misi bantuan ke lapan pusat pemindahan yang bermula sejak pukul 3 petang semalam berakhir kira-kira pukul 2 pagi dilaksanakan dengan dibantu pasukan tentera dari Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin.
Sumber: Bernama | 22 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan