PASIR MAS: Seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam tali air di Kampung Kenjing, Repek di sini hari Sabtu.
Mangsa, Ahmad Iman Farhan Lee Chong Siow, 12, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada pukul 11.30 pagi selepas dikejarkan ke Hospital Pasir Mas.
Datuk mangsa, Mohd Zain Hussin, 61, berkata beliau mengetahui mengenai kejadian yang menimpa cucunya itu selepas diberitahu oleh seorang penduduk kampung yang datang ke rumahnya.
"Saya bergegas ke tempat kejadian dan difahamkan cucu saya lemas di tali air itu dan diselamatkan penduduk, namun dia tak sedarkan diri.
"Dia kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas namun meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kira-kira 11.30 pagi," katanya ketika ditemui pemberita di hospital itu.
Mohd Zain berkata Ahmad Iman Farhan ada memberitahunya mahu keluar bermain air bersama beberapa rakan, namun beliau tidak menyangka ia berakhir dengan tragedi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Ibrahim Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Bernama | 21 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan