Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 6 Januari 2017

12,771 mangsa banjir di 29 pusat pemindahan di Kelantan malam ini

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 12,771 orang daripada 4,584 keluarga setakat 9 malam ini berbanding 12,931 orang daripada 4,640 keluarga 5 petang tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir, sebanyak 29 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di Jajahan Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.

Jumlah mangsa paling ramai ialah di Jajahan Pasir Mas iaitu sebanyak 8,706 orang daripada 3,286 keluarga yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan, diikuti Jajahan Tumpat sebanyak 4,038 orang daripada 1,293 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

Terdapat 27 orang daripada lima keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan di Pasir Puteh.

Berikutan banjir yang semakin surut lebih ramai mangsa dijangka dapat pulang ke rumah masing-masing esok.

Menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my. hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 9 meter (m), namun menunjukkan trend penurunan iaitu 9.69m berbanding 9.77 m petang tadi.

Paras air Sungai Kelantan semakin surut dan berada di bawah paras bahaya dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pada 12.89m berbanding 12.99m petang tadi (paras bahaya 16m) manakala paras air sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal.

Sumber: Bernama | 6 Jan. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan