Limpahan air Sungai Kelantan menyebabkan Dataran Purnama di Kampung Laut, Tumpat dinaiki air sedalam 0.5 meter setakat jam 6 petang, semalam. |
TUMPAT: Kampung Pantai Haji Nik Mat mula dinaiki air apabila air Sungai Kelantan melimpah dan membanjiri kawasan rendah.
Tinjauan di perkampungan pinggir Sungai Kelantan termasuk di Kampung Laut dan Pangkalan Kok Majid mendapati, sungai melimpah ke tebing, manakala Jeti Kok Majid ditenggelami air.
Walaupun hampir semua bacaan sungai utama di Kelantan mencatat penurunan tetapi paras air di Tambatan Diraja, Kota Bharu semakin meningkat.
Setakat jam 4 petang semalam, paras air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu menghampiri paras amaran iaitu 3.74 meter (paras amaran 4 meter).
Sementara itu, penduduk Pulau Seratus, Roslan Ismail, 42, berkata, beberapa pulau di sini akan dinaiki air sekiranya air Sungai Kelantan melimpah.
"Antara pulau yang sering dinaiki air ialah Pulau Seratus, Pulau Teluk Rejuna, Pulau Beluru, Pulau Tongkang, Pulau Gorek dan beberapa pulau di sekitar Kok Majid.
"Tetapi setakat hari ini (semalam) hanya Pulau Pantai Haji Nik Mat dinaiki air, namun penduduk di pulau lain berjaga-jaga,” katanya.
Menurutnya, air sungai Kelantan berarus deras tetapi tidak menjejaskan bot penduduk berulang-alik ke Jeti Kok Majid dan pulau-pulau sekitar.
"Perjalanan bot dari Pulau Beluru, Pulau Seratus, Pulau Teluk Rejuna, Pantai Suri beroperasi seperti biasa, berulang–alik ke Pengkalan Kok Majid walaupun musim tengkujuh.
"Lagipun ini saja perhubungan yang ada untuk penduduk pulau ke bandar membeli barang keperluan dapur seperti beras, telur, sardin sebagai bekalan ketika banjir nanti," katanya.
Namun katanya, aspek keselamatan tetap dijaga apabila penduduk memakai jaket keselamatan setiap kali menyeberangi sungai pada musim tengkujuh nanti.
Bagi Abdul Aziz Harun, 54, dari Kampung Sungai Nyior berkata, dia dalam keadaan berjaga-jaga berikutan air sungai semakin meningkat, namun setakat ini ia tidak melimpah masuk ke kediamannya lagi.
"Pekarangan rumah saya ini sudah dipenuhi air hujan, kalau sungai melimpah, airnya makin dalam.
"Saya harap banjir tidak besar kerana masih trauma dengan banjir tahun 2014," katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 2 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan