PASIR PUTEH: Kementerian Kesihatan memiliki tanda aras pengurusan banjir yang tinggi dan mampu menangani bencana alam itu dengan baik di Kelantan tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pencapaian itu diperoleh melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibentuk sebelum ini hasil pengalaman menghadapi banjir luar biasa di Kelantan pada 2014.
"Daripada maklumat dan tinjauan yang dilakukan hari ini, didapati semua hospital dan klinik kesihatan di negeri ini telah mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi musim tengkujuh dan tiada kerosakan besar dilaporkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas sesi taklimat banjir di Hospital Tengku Anis di sini Rabu.
Dr Noor Hisham juga berkata jumlah kerosakan membabitkan fasiliti dan ubat-ubatan bagi hospital, klinik kesihatan dan klinik desa pada banjir besar 2014 di Kelantan adalah RM1.7 juta.
Katanya kebanyakan kerosakan akibat banjir tahun ini berlaku di hospital dan klinik yang sebelum ini bukan terletak di lokasi jangkaan berlaku banjir seperti Hospital Tengku Anis dan Hospital Pasir Mas.
"Banjir yang melanda hospital, klinik kesihatan dan klinik desa adalah banjir kilat ekoran masalah sistem perparitan. Kami harap pihak berkuasa tempatan dapat memberi perhatian berhubung perkara ini," katanya.
Beliau berkata satu analisis terperinci akan dilakukan bagi penyediaan kos baik pulih kerosakan fasiliti kesihatan di negeri itu.
Dr Noor Hisham juga berkata Jabatan Kesihatan Kelantan telah menguruskan keperluan pesakit berisiko termasuk mereka yang memerlukan rawatan hemodialisis, ibu mengandung dan warga emas.
Beliau berkata tiada penyakit berjangkit dilaporkan berlaku setakat ini berikutan langkah pencegahan yang dilakukan pegawai dari Jabatan Kesihatan di setiap daerah.
"Setakat ini kami amat berpuas hati dengan persediaan dan pencapaian yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Kelantan dan yakin banjir kali ini mampu ditangani dengan baik," katanya.
Sumber: Bernama | 25 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan