Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 8 Januari 2017

16 klinik desa di Kelantan akan dinaik taraf kepada klinik kesihatan

Hilmi bersama sebahagian pegawai kesihatan Tumpat semasa Taklimat Operasi Banjir di Pusat Latihan Hospital Tumpat.
TUMPAT: Sebanyak 16 klinik desa di Kelantan yang terletak di kawasan rendah dan sering terjejas oleh banjir bakal dinaik taraf kepada klinik kesihatan dengan kos dianggarkan sebanyak RM5 juta bagi setiap klinik.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata 16 klinik desa tersebut adalah daripada 176 klinik desa yang terdapat di negeri itu.

Klinik Desa terbabit terletak di Kuala Krai sebanyak lima buah, Machang (tiga); Gua Musang (tiga); Pasir Mas (dua); Tanah Merah (dua) dan Tumpat (satu), katanya kepada pemberita selepas hadir taklimat operasi banjir di Pusat Latihan Hospital Tumpat di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata bangunan lima daripada 84 klinik kesihatan yang terdapat di negeri ini akan dibina baharu dengan kos antara RM20 juta dan RM30 juta.

Klinik kesihatan terbabit adalah di Penambang dan Kok Lanas di Kota Bharu; Rantau Panjang, Pasir Mas; Pos Brooke, Gua Musang dan Tanah Merah, katanya.

"Pembinaan klinik kesihatan itu kini ada yang dalam proses tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) manakala di Pos Brooke dijangka dibuat lawatan tapak oleh kontraktor pada penghujung bulan ini.

"Di Kok Lanas kita dapati ia baru diluluskan tanahnya (tapak) dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dan di Tanah Merah baru sahaja diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Hilmi berkata ada empat fasiliti kesihatan dilanda banjir baru-baru ini iaitu Klinik Kesihatan Rantau Panjang dan Klinik Kesihatan Kubang Kual di Pasir Mas; Klinik Kesihatan Ketereh di Kota Bharu,dan Klinik Desa Simpang Empat di Tumpat.

Mengenai mangsa banjir, beliau berkata pasukan kesihatan dan perubatan telah memeriksa 3,305 mangsa di 106 pusat pemindahan.

"Jabatan Kesihatan Kelantan sudah mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir pada 31 Disember lalu manakala kesemua hospital juga diarahkan bersiap sedia untuk menempatkan pesakit berisiko seperti ibu hamil dan pesakit hemodialisis yang tinggal di kawasan terjejas banjir," katanya.

Beliau berkata sebanyak 391 anggota pasukan kesihatan dan 427 anggota pasukan perubatan telah digerakkan ke pusat pemindahan.

Sumber: Bernama | 8 Jan. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan