KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren antarabandar laluan Pantai Timur yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di KM392.5 di antara Bukit Abu dan Dabong di Kuala Krai dijangka pulih pada 20 Januari ini.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataannya hari ini berkata pada masa ini, semua perkhidmatan tren di laluan berkenaan masih belum beroperasi kerana kerja-kerja membaik pulih landasan masih dijalankan.
Berikutan itu, perkhidmatan bas masih beroperasi seperti biasa untuk penumpang Ekspres Timuran No 26 (JB Sentral-Tumpat) dan Ekspres Timuran No 27 (Tumpat-JB Sentral).
Bagi Ekspres Timuran No 26, penumpang akan turun di Stesen Gua Musang dan meneruskan perjalanan ke stesen-stesen perantaraan menggunakan bas.
Bagi Ekspres Timuran No 27 pula, penumpang yang menaiki tren dari Stesen Tumpat ke Kuala Krai dan menaiki bas ke Gua Musang untuk meneruskan perjalanan ke JB Sentral menggunakan tren.
Bagi perkhidmatan tren tempatan, ia masih beroperasi seperti biasa bagi laluan Kuala Lipis-Gua Musang-Dabong.
KTMB memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi dan meminta orang ramai menghubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau layari laman sesawang di www.ktmb.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber: Bernama | 13 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan