PASIR MAS: Enggan menanggung kerugian lebih besar, beberapa peniaga di pekan Rantau Panjang hari ini mula mengambil pendekatan melelong pakaian yang tidak sempat diselamatkan ketika banjir melanda sejak Ahad lepas.
Tinjauan Bernama mendapati peniaga melelong pakaian dengan potongan harga sehingga 70 peratus bagi mengelak kerugian lebih besar.
Peniaga, Zariana Zahari, 32, berkata beliau kerugian kira-kira RM10,000 kerana gagal menyelamatkan barang jualannya akibat banjir di pekan itu.
"Air naik terlalu cepat sehingga saya gagal pindahkan pakaian yang berada dalam kedai ke tempat yang lebih tinggi.
"Disebabkan banjir itu juga, saya terpaksa tutup kedai sejak Isnin hingga Rabu lepas dan hanya semalam dapat ke kedai untuk membersihkannya," katanya ketika ditemui pemberita di pekan tersebut di sini, hari ini.
Zariana berkata beliau memberi diskaun antara 50 dan 70 peratus terhadap pakaian yang rosak akibat ditenggelami banjir.
"Ada pakaian yang berharga RM100 sebelum ini, saya jual dengan harga RM30 bagi mengelakkan kerugian lebih besar," katanya yang bersyukur kerana kedai tidak rosak walaupun dinaiki air pada paras pinggang.
Sumber: Bernama | 6 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan