Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 25 Januari 2017

Usaha majukan Lembah Binjai di sebelah Kota Bharu Timur

Abdul Fattah Mahmood (tiga dari kanan) menyaksikan Zamri Ismail (dua dari kanan) menerima dokumen perjanjian daripada Rita Sarbani Ismail (dua dari kiri) di Hotel Raudah, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat AUEI Teras Holdings Sdn Bhd bernilai lebih RM100 juta bagi melaksanakan Pembangunan Bandar Institusi Pelancongan Lembah Binjai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, usahasama itu bakal merancakkan pembangunan ekonomi di sekitar Parlimen Kubang Kerian khasnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit.

Beliau berkata, pembangunan itu juga akan melibatkan pembinaan pasar baharu Kubang Kerian bagi memberikan semula peluang kepada kira-kira 500 peniaga yang kehilangan tempat untuk berniaga sejak lima tahun lalu.

“MPKB-BRI dan AUEI Teras akan membangunkan kawasan seluas 200 hektar membabitkan perumahan fasa pertama untuk memberi kemudahan kepada penduduk sekitar parlimen tersebut.

“Fasa pertama projek ini akan dimulakan selepas majlis pecah tanah yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob pada 4 Februari ini,” kata­nya kepada pemberita selepas majlis tersebut di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail; Setiausahanya, Mohamed Noor Nik Ishak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Mumtaz Md Nawi dan Penasihat AUEI Teras Holdings Sdn Bhd, Ir Nik Mohd Amin Nik Taib.

Abdul Fattah berkata, pemba­ngunan melibatkan lima fasa itu akan memberikan dimensi baharu kepada Kubang kerian sebagai sebuah bandar pelancongan bertaraf moden.

“Proses pengambilan tanah sudah berjalan lancar dan projek ini dibiayai 100 peratus oleh syarikat ini yang sekali gus membantu kerajaan negeri membangunkan dan memajukan Lembah Binjai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan AEUI Teras Holdings Sdn Bhd, Rita Sarbani Ismail berkata, syarikat yang beribu pejabat di Kubang Kerian itu sudah melaksanakan pelbagai projek termasuk pembinaan pangsapuri dan bazar perniagaan.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 23 Jan. 2017 | 24 Jan. 2017 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan