Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 14 Januari 2017

Sektor pertanian rugi RM3.4 juta akibat banjir di Kelantan

PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) merekodkan kerugian awal RM3.4 juta bagi sektor pertanian akibat banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian Badrul Hisham Mohd berkata kerugian itu melibatkan kemusnahan tanaman padi, ternakan dan kemudahan asas pertanian seperti jalan dan ban.

"Jumlah itu merupakan taksiran awal dan mungkin lebih besar lagi selepas bancian siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita pada program gotong-royong membasmi siput gondang 'pomacea' di Bendang Gong Gaduk di sini hari ini.

Hadir sama Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak Datuk Zawawi Othman dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak (IADA) Nik Hamadi Nik Abdullah.

Dalam perkembangan sama, Badrul Hisham berkata pengusaha akuakultur di Kelantan dan Terengganu turut mengalami kerugian kira-kira RM1.5 juta apabila 105 tan metrik ikan musnah dalam bencana itu.

Beliau berkata dalam sektor ternakan pula, 777 daripada 827 ekor haiwan ternakan ruminan yang terbabit dalam banjir dapat diselamatkan di kedua-dua negeri berkenaan hasil prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperkenalkan sebelum ini.

"Kerajaan akan mengkaji apakah bentuk bantuan yang terbaik yang akan diberikan kepada petani untuk membantu meringankan beban mereka dan memulihkan semula sektor yang terjejas bencana itu," katanya.

Sumber: Bernama | 14 Jan. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan